Razali Abu Samah

MELAKA – Polis setakat ini masih belum meluluskan sebarang permit penjualan bunga api dan mercun di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, pihaknya sudah menerima 20 permohonan penjualan bahan itu sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini.

Menurutnya, antara lokasi yang mendapat permohonan adalah di Klebang bagi daerah Melaka Tengah selain Alor Gajah namun semuanya masih dalam proses mendapatkan kelulusan permit.

“Setakat ini, permohonan diterima adalah kira-kira 20 namun kita masih melihat kesesuaian tempat dan lokalitinya sebelum meluluskan permit penjualan.

“Sebelum ia diluluskan, kita akan pastikan dari mana peniaga mendapatkan bekalan itu, adakah ianya dari pengedar yang sah dan perlu ada lesen perniagaan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bunga api dan mercun yang hendak dijual pula hanya daripada jenis yang dibenarkan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media pada Kempen Keselamatan Rumah dan Pengagihan Bubur Lambuk di sini hari ini.

Zaidi (dua kanan) menyerahkan bubur lambuk dan cenderahati kepada pengguna jalan raya.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Zaidi Attan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut, Razali berkata, antara syarat lain kelulusan adalah menjual di kawasan dan premis yang dibenarkan oleh kerajaan.

“Ada juga permohonan diterima untuk jual mercun dan bunga api di kaki lima kedai dan rumah tapi kita tidak benarkan kerana syaratnya hendaklah ada premis,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast