Kempen Infaq Kasih Ramadan 2022 dianjurkan oleh Malaysia Relief Agency (MRA).

KUANTAN – Kempen Infaq Kasih Ramadan 2022  oleh Malaysia Relief Agency (MRA) memberi fokus kepada golongan miskin, anak yatim, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal serta komuniti B40.

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan bukan sahaja kepada rakyat  Malaysia malah dipanjangkan ke Palestin, Yaman, Afghanistan dan Syria.

“MRA akan terus memainkan peranan menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih melalui Kempen Infaq Kasih Ramadan 2022 dalam dan luar negara.

“Melalui kempen ini, MRA telah menyalurkan sumbangan bernilai RM2.2 juta yang melibatkan sumbangan pek makanan asas, pek iftar dan sahur serta pek Syawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Daud, seramai 108,625 orang telah disantuni melalui Kempen Infaq Kasih Ramadan tahun lalu dengan agihan sebanyak 8,641 pek makanan asas, 55,416 pek iftar dan sahur.

Selain itu, turut diedarkan 404 pek Syawal serta 9,120 pek tenaga dan pek kebersihan telah diedarkan di seluruh Malaysia serta beberapa buah negara luar.

Bagi misi kemanusiaan ke luar negara tahun ini, MRA telah menghantar dua orang wakil ke Afghanistan bagi melaksanakan misi bantuan Ramadan dan telah berlepas ke Islamabad pada 27 Mac lalu.

MRA menyasarkan sebanyak satu juta roti untuk diagihkan kepada 3300 buah keluarga setiap hari selama 30 hari sepanjang Ramadan di enam daerah di Afghanistan.

Selain itu, MRA juga meneruskan projek yang sama di negara bergolak Yaman dengan mengagihkan 12,000 keping roti setiap hari di enam daerah di Yaman.

“Jumlah nilai agihan yang disasarkan kepada kedua-dua negara Afghanistan dan Yaman ini ialah sebanyak RM1.5 juta. Usaha menggerakkan bantuan MRA di Afghanistan bermula pada bulan Ramadan ini akan diteruskan dengan pembukaan pejabat satelit MRA di Kabul,” katanya.

Pihaknya akan merangka projek bersifat jangka sederhana dan jangka panjang bagi membantu penduduk yang memerlukan di sana. – MalaysiaGazette