Foto Facebook Sabah FC.

KUALA LUMPUR – Sabah FC membuktikan musim ini kehadiran mereka tidak boleh dipandang sepi selepas berjaya meraih kemenangan kedua-dua berturut dengan menumpaskan Melaka United,1-0 di Stadium Hang Jebat.

Gol tunggal dari Park Tae-su pada minit 25 sudah cukup buat Sabah menamatkan rekod tanpa menang di gelanggang lawan sejak 9 Julai 2019 yang menyaksikan kali terakhir mereka menang 2-1 mengatasi UiTM FC di Liga Premier.

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berharap prestasi itu dapat diteruskan bagi menghadapi dua lagi perlawanan di laman lawan bermula dengan Sarawak United FC pada Ahad ini.

“Kita tahu Melaka adalah sebuah pasukan yang baik namun tekanan awal yang kita berikan pada separuh masa pertama telah berjaya mendapatkan satu gol.

“Namun selepas itu peluang-peluang yang kita cipta tidak disempurnakan dan kita berada dalam tekanan pada separuh masa kedua.

“Bagaimanapun semua pemain tidak kira siapa telah menunjukkan prestasi yang baik dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan lagi pada dua perlawanan di laman lawan.

“Dalam bola sepak bukan satu atau dua pemain yang akan memenangkan pasukan tetapi komitmen 100 peratus dari semua pemain yang akan berikan kejayaan, ” katanya.

Sabah kini memanjat ke tangga ketiga Liga Super hasil pungutan enam mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC.

Sementara itu di Stadium Negeri, Kuching, menyaksikan Sarawak United bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Penang FC 1-1.

Penyerang Penang, Casagrande meledak jaringan pendahuluan pada minit-73 sebelum Boris Kok menyelamatkan maruah Sarawak, 10 minit kemudian dengan gol penyamaan.

Bagi ketua jurulatih Sarawak United, B.Satianathan, dia memuji pemain-pemainnya yang telah berjuang sedaya upaya sambil akui bukan mudah meraih mata bertemu Penang.

“Keputusan seri adalah adil walaupun saya rasa kami patut menang namun semangat pemain perlu dipuji.

“Kita harus sedar Penang merupakan sebuah pasukan yang kuat,mereka berada di tempat ketiga pada musim lalu dan pemain saya telah berjaya berikan saingan.

“Saya mahu terima kasih kepada penyokong yang hadir dan harap dapat diteruskan semasa berdepan Sabah, pemain sentiasa memerlukan sokongan peminat bagi menaikkan semula maruah pasukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast