KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan tindakan Kabinet yang bertindak menangguh perbentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Beliau berkata, penangguhan RUU itu menunjukkan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk menggubalnya.
“Perundangan “antilompat” akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali, kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan.
“Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?
“Sudah tentu ini amat mengecewakan rakyat Malaysia yang sudah lama menanti kewujudan undang-undang dilaksanakan segera kerana mandat rakyat memilih pemimpin ketika pilihan raya hilang apabila lompat parti,” soal beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Awal hari ini, media melaporkan bahawa Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang, sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi ‘lompat parti’.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO adalah parti yang paling terkesan sekiranya RUU itu tidak dibentangkan segera.
Katanya ini kerana terdapat ahli parlimennya beralih arah sokongan selepas Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ada juga meskipun masih dalam BN ketika itu bernada musuh politik UMNO dengan mengharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti.
“Saya sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan membentang dan meluluskan undang-undang ini,” kata Ahmad Zahid lagi.
Pada Selasa lalu, Ismail Sabri memberi jaminan kepada Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan akan membentangkan RUU berkenaan pada Isnin depan.
Perkara itu dizahirkan Ismail Sabri dalam satu pertemuan dengan Majlis Presiden PH. – MalaysiaGazette