P. Ramasamy.

GEORGE TOWN – Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy akan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa esok.

Peguamanya, Shamsher Singh Thind berkata, anak guamnya itu akan dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Sesyen di Butterworth untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

“SPRM tidak mendedahkan butiran pertuduhan esok,” katanya ringkas.

Pertuduhan di bawah seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Difahamkan, pertuduhan itu dipercayai ada kaitan dengan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), yang pernah diselianya sebelum ini.

Ogos lalu media melaporkan bahawa Pengerusi PHEB RSN Rayer telah menyerahkan penemuan PHEB daripada audit forensik dalaman kepada SPRM.

Rayer mendakwa bahawa audit telah mendedahkan beberapa petunjuk, tetapi tidak menjelaskannya secara terperinci.

Sementara itu, setiausaha Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Satees Muniandy mendakwa, pegawai SPRM di Pulau Pinang bertindak di bawah arahan Putrajaya.

Satees juga mendakwa, beberapa pemimpin DAP telah gigih melobi SPRM untuk meneruskan kes berkenaan.

“Pada pandangan kami, tuduhan ini jelas bermotifkan politik.

“Ramasamy dan Urimai akan melawan dakwaan ini di mahkamah undang-undang, dan kami percaya kebenaran akhirnya akan menang.

“Mereka yang berkuasa mungkin cuba menggunakan institusi negara untuk menakut-nakutkan dan menyekat pengkritik, tetapi mereka mesti ingat-kuasa tidak kekal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast