JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang pembantu pegawai sebuah agensi bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000.
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 32 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira pada jam 12.30 tengahari tadi selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, pada tahun 2020 hingga tahun lalu, lelaki tersebut yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan didakwa telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek yang hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini esok bagi mendapatkan permohonan reman.- MalaysiaGazette