KUALA LUMPUR – Pihak yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat rundingan bagi membolehkan dirinya kembali sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 kerana mahu menggambarkan Presiden Bersatu itu seorang gila kuasa.
Ketua Bersatu Bahagian Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin berkata, ia satu lagi usaha memburukkan Ahli Parlimen Pagoh itu selepas dituduh ‘tikam belakang’ Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.
“Jangan ada mana-mana parti politik yang tergamak untuk menuduh Muhyiddin dan Bersatu, kononnya sebagai pihak yang mengkhianati PH atau telah membunuh kerajaan PH.
“Dalam hal ini, saya selaku ahli dan pemimpin Bersatu, amat insaf dan cukup sedar bahawa Bersatu tidak pernah bertindak seperti itu.
“Saya juga amat insaf dan cukup sedar bahawa sesetengah parti lain dalam PH sebenarnya mengkhianati agenda Bersatu untuk memperjuangkan kepentingan Islam serta untuk memperjuangkan nasib orang Melayu dan bumiputera di zaman kerajaan PH.
“Banyak data mengenai hal ini yang kini boleh dirujuk oleh masyarakat Malaysia untuk menentukan siapa yang telah menikam siapa dalam kerajaan PH dan siapa pula yang telah mengkhianati perjuangan siapa, sewaktu era kerajaan PH,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ariss berkata, pada masa sama, terdapat maklumat mengenai siapakah individu yang sebenarnya telah merancang supaya Bersatu keluar dari PH.
Akibat dari masalah tersebut, siapa pula individu yang sebenarnya telah membuat “pusingan-U” mengenai rancangan itu di saat-saat terakhir, katanya.
Dalam pada itu, Ariss juga menggesa agar Pas selaku komponen terbesar Perikatan Nasional di Semenanjung Malaysia dapat menjalankan perundingannya dengan beberapa parti politik tertentu atas niat yang sama seperti Bersatu.
Antara niat itu, jelasnya, adalah untuk membolehkan PN dan parti-parti lain yang sehaluannya dengannya menyelamatkan Malaysia dari cengkaman jenayah rasuah serta salahguna kuasa.
“Saya juga memohon agar lain-lain komponen PN di Malaysia Semenanjung, seperti Parti Gerakan serta komponen PN di Sabah dan sekutu rapat PN di Sarawak akan turut memberikan sokongan kepada usaha yang sedang dilakukan oleh Muhyiddin pada ketika ini,” katanya. – MalaysiaGazette