KUALA LUMPUR – Kedudukan tenaga buruh terus kukuh pada bulan Februari 2022 dengan kadar pengangguran yang lebih rendah direkodkan iaitu 4.1 peratus dengan bilangan penganggur terus menurun kepada 671,800 orang.

Keadaan ini didorong oleh operasi berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial pada bulan tersebut, selain peningkatan dalam penduduk bekerja berikutan lebih banyak permintaan buruh oleh perniagaan serta pewujudan peluang pekerjaan dalam
pasaran untuk mengekalkan perniagaan.

Seterusnya, ia mendorong kepada penurunan dalam bilangan penganggur dan kadar pengangguran yang lebih rendah pada bulan tersebut.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja kekal pada bulan Februari 2022 dengan pertambahan bulan ke bulan sebanyak 0.3 peratus kepada 15.73 juta orang (Januari 2022: 15.69 juta orang), mencatatkan kadar nisbah guna tenaga kepada penduduk yang lebih tinggi iaitu pada 66.3 peratus (Januari 2022: 66.2%).

Justeru, bilangan tenaga buruh terus meningkat bulan ke bulan, naik sebanyak 0.2 peratus kepada 16.40 juta orang (Januari 2022: 16.37 juta

Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan tersebut kekal pada 69.1 peratus.

Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7 peratus daripada jumlah penganggur.

Bilangan dalam kategori ini berkurang sebanyak 1.2 peratus kepada 562,500 orang (Januari 2022: 569,500orang).

Daripada jumlah penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 56.7 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi peratus sumbangan sebanyak 7.3 peratus.

Di samping itu, mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif menurun sebanyak 1.4 peratus kepada 109,300 orang (Januari 2022: 110,900 orang).

Sementara itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 mata peratus kepada 13.0 peratus dengan bilangan penganggur belia berkurang sebanyak 2.1 peratus merekodkan 356,900 orang (Januari 2022: 364,500 orang).

Begitu juga, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 30 tahun berkurang sebanyak 0.2 mata peratus kepada 8.1 peratus, mencatatkan bilangan penganggur yang lebih rendah iaitu sebanyak 513,700 orang (Januari 2022: 8.3%; 521,800orang).

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, Mohd Uzir berkata, kategori pekerja secara konsisten membentuk komposisi terbesar dalam penduduk bekerja, merangkumi peratus sumbangan sebanyak 76.6 peratus, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.05 juta orang (Januari 2022: 12.03 juta orang).

Trend yang sama juga dilihat dalam kategori penduduk bekerja sendiri yang terus meningkat dengan pertambahan sebanyak
0.7 peratus pada bulan Februari mencatatkan 2.67 juta orang (Januari 2022: 2.66 juta orang).

Mengikut sektor ekonomi, peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja bagi sektor perkhidmatan sebahagian besarnya disumbangkan oleh aktiviti perkhidmatan makanan & minuman, erdagangan borong & runcit; dan pengangkutan & penyimpanan.

Begitu juga, bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan dan pembinaan turut mencatatkan peningkatan.

Sebaliknya, sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian terus merekodkan pengurangan dalam bilangan penduduk bekerja.

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh kekal dalam trend menurun dengan pengurangan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 7.32 juta orang (Januari 2022: 7.33 juta orang).

Mengulas kedudukan tenaga buruh secara keseluruhan bagi tempoh yang akan datang, Mohd Uzir berkata, kedudukan ekonomi yang semakin pulih pada dua bulan pertama 2022 dipacu oleh aktiviti ekonomi yang menggalakkan.

Situasi ini membolehkan aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk terus beroperasi, lantas mendorong lebih banyak permintaan buruh dalam pasaran bagi memenuhi keperluan operasi perniagaan.

Situasi ini memberi isyarat positif terhadap pasaran buruh, justeru menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam pasaran buruh, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk kekal kukuh bagi bulan-bulan yang akan datang.

Selain itu, berkuat kuasa mulai 1 April 2022, negara sedang dalam peralihan ke fasa endemik dengan pembukaan sempadan antarabangsa, pemansuhan penjarakan fizikal bagi solat berjemaah serta penarikan semula sekatan waktu operasi perniagaan dan lain-lain.

Oleh itu, ia menggalakkan lebih banyak aktiviti pelancongan antarabangsa dan membantu merancakkan semula sektor pelancongan negara serta aktiviti berkaitan pelancongan.

Pembukaan semula sempadan negara juga dilihat sebagai pemangkin untuk memulihkan isu kekurangan tenaga buruh asing dalam negara, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast