Abdul Hadi Awang

MARANG – Wakil rakyat lompat parti bukan isu baharu bagi Pas sebaliknya sejak tahun 1959.

Malah kerajaan negeri pimpinan Pas di Kelantan dan Terengganu pernah dijatuhkan pada tahun 1960-an selepas beberapa wakil rakyat parti itu berpaling tadah ke parti lawan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Hadi Awang berkata, disebabkan masalah tersebut, Pas terpaksa memperkenalkan bai’ah atau berjanji memberi ketaatan terhadap semua wakil rakyat yang bertanding di bawah logo parti itu.

“Kita bukan baru dan kita tangani masalah ini sudah lama, dengan sebab itu PAS sebut dalam sumpah ‘bai’ah’ dia.

“Mana-mana wakil rakyat yang lompat parti, wajib dia letak jawatan. Kalau tak letak jawatan akan dilaknat oleh Allah, laknat oleh semua yang melaknat.

“Itu ada dalam baiah, kita sebut, kita sudah ikat, kita sudah lama dalam masalah ini,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Tradisi calon wakil rakyat Pas berbaiah dikekalkan sehingga hari ini.

Media sebelum ini melaporkan antara baiah calon pilihan raya Pas termasuk jatuh talak tiga ke atas isteri sekiranya mereka melompat parti.

Bagaimanapun lafaz baiah pada pilihan raya umum ke-14 dibuat dengan beberapa penambahbaikan termasuk jika seseorang wakil rakyat Pas tidak puas hati dengan parti tidak boleh keluar kecuali selepas meletak jawatan.

Sementara itu Ahli Parlimen Marang itu berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat tidak perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Memang undang-undang ini perlu kepada penelitian, tak perlu gopoh dan kita tidak gopoh dalam masalah ini.

“Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebab. Kalau sebab-sebab itu betul, kita tidak boleh tolak. Kalau sebab-sebab itu salah baru kita tolak.

“Ini perlu kepada penafsiran, kerana perjuangan kita untuk selamatkan rakyat bukan selamatkan diri.

“Jika parti itu tidak betul, takkan dia nak ikut parti itu lagi termasuklah parti PAS pun. Kalau parti PAS ubah dasar dia, orang PAS tak boleh ikut. Dengan sebab itu kena adalah huraian-huraian dia, tak boleh buat mudah-mudah sahaja,” jelasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kah kah kah…kalau yg lompat tu keluar PAS..tu kau panggil beruk…tp kalau lompat keluar tu parti lain..kena ada huraian2 plak..punya belit tok lebai ni…ko jd menteri dah berapa bilion pelaburan dari Timur Tengah ko bawa masuk? Ker ko makan gaji buta??

Comments are closed.