Home Nasional Pasangan suami isteri warga asing koyak baju elak ditahan penguatkuasa DBKL

Pasangan suami isteri warga asing koyak baju elak ditahan penguatkuasa DBKL

 

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri warga asing ditahan polis kerana disyaki  menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang menjalankan di hadapan sebuah bank di Selayang, dekat sini, hari ini.

Pasangan itu bukan sahaja mendirikan khemah secara haram untuk berniaga tetapi juga melakukan provokasi bagi menghalang anggota penguatkuasa daripada merampas barangan mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam semasa menjalankan tugas di hadapan sebuah bank pada jam 6.41 petang semalam

Katanya, hasil siasatan mendapati semasa anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melakukan rondaan, mereka ternampak dua orang asing sedang berniaga di kawasan kaki lima bank tersebut.

“Pihak penguatkuasa DBKL telah bertindak menyita barangan mereka kerana tindakan warga asing itu menyalahi undang-undang PBT (Pihak Berkuasa Tempatan).

“Namun keadaan tiba-tiba bertukar menjadi kecoh apabila kedua-dua warga asing tersebut enggan memberi bekerjasama dan bertindak melakukan provokasi yang agresif dengan menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam gambar sehingga menyebabkan telifon bimbit jatuh dan rosak.

“Mereka juga bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah ke arah muka salah seorang penguatkuasa DBKL selain bertindak mengoyakkan baju sendiri dan menuduh perbuatan tersebut dilakukan oleh pihak penguatkuasa DBKL bagi mengelakkan dirinya dari ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita warga asing yang koyakkan pakaian sendiri ketika dia dan suaminya ditahan penguatkuasa DBKL dan barang niaga mereka di hadapan bank disita dalam kejadian hari ini. Ihsan IPD Sentul

Tambah beliau, berikutan kejadian tersebut, seorang lelaki dan seorang perempuan warga asing berusia 34 dan 38 tahun yang terlibat dalam insiden ini telah ditahan di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua suspek yang ditangkap itu tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Kedua-dua mereka kini telah direman di IPD Sentul bermula hari ini sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan lanjut,’ ujarnya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tersebut diminta menghubungi Bilik Gerakan ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222. – MalaysiaGazette