KUALA LUMPUR – Kejadian pesawat Malaysia Airlines MH2664 yang terjunam dalam kejadian 3 April lalu berlaku akibat sistem Pitot-Static tidak berfungsi.
Insiden itu berlaku semasa ia berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Tawau sebelum berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Chester Voo berkata, pihaknya telah menyemak laporan awal siasatan keselamatan dan kejuruteraan berhubung insiden pesawat berkenaan yang diambil dari Flight Data Recorder (FDR).
Ia merupakan sistem pengukur tekanan bagi menentukan kelajuan angin dan altitut.
Menurutnya, kegagalan sistem tersebut berfungsi telah menyebabkan penunjuk kelajuan tidak tepat hingga mengakibatkan pesawat menaik serta menyahaktifkan fungsi autopilot.
Bagi mengatasi isu itu, juruterbang segera bertindak untuk mengambil alih kawalan terhadap pesawat tersebut.
Ini penting bagi memastikan pesawat kekal berada dalam kawalan juruterbang berdasarkan indikator tepat yang masih ada serta menggunakan instrumen yang masih berfungsi.
Semasa proses mengambil alih kawalan pesawat, data keselamatan menunjukkan input perubahan mendadak pada pecutan dan altitut, selari dengan laporan juruterbang serta laporan dari penumpang-penumpang dalam pesawat.
Gerakan ini ditambah dengan cuaca buruk menyebabkan penumpang dalam kabin merasa tidak selesa, jelas beliau.
“Kru-kru pesawat telah mengambil tindakan awal dan pelaksanaan senarai semak pemulihan tidak normal seperti prosedur operasi standard adalah mencukupi berdasarkan siasatan laporan awal CAAM dan FDR,” katanya dalam kenyataan di sini.
‘Bagi mengekalkan pengawasan keselamatan yang berkesan, CAAM telah mengarahkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk melaksanakan segera keperluan seperti berikut:
• Meningkatkan program Upset Prevention and Recovery Training (UPRT) oleh MAB untuk memberi penekanan terhadap tindakan awal dan masa yang diambil untuk bertindak balas terhadap sesuatu isu. Perkara ini merupakan mandat CAAM
kepada semua operator pesawat komersial.
• Mengeluarkan Memo Keselamatan yang dipertingkatkan untuk mewajibkan keperluan bagi tindakan awal yang lebih baik, tindak balas dan pengukuhan pematuhan kepada senarai semak pemulihan tidak normal.
• Menyemak analisis dari pengeluar pesawat, The Boeing Company mengenai sebab dan punca kegagalan dan penyelesaian dengan tindakan pemulihan yang dipertingkatkan bagi menambah baik program penyelenggaraan.
• Membuat semakan dengan CAAM mengenai laporan kebolehpercayaan untuk memberi tumpuan kepada laporan kesalahan serupa bagi isu dalam pesawat yang direkodkan bagi semua pesawat jenis Boeing 737-800.
• Menyiapkan pemeriksaan Pitot Static yang merangkumi semua disiplin termasuk ujian pemanasan dan rintangan ke atas semua pesawat Malaysia Aviation Group (MAG) Boeing 737-800.
Chester menambah, CAAM juga mengesahkan pesawat terjejas berkenaan disimpan sehingga notis seterusnya dan kini sedang menunggu proses analisis teknikal dari syarikat Boeing.
”Punca utama yang dikenalpasti akan ditangani bagi memastikan kaedah latihan dan keselamatan yang dipertingkatkan bagi semua kakitangan penerbangan terlibat,” ujarnya.
Susulan perkara ini, CAAM akan mengeluarkan keperluan tambahan yang diperlukan bagi memastikan pematuhan kepada amalan keselamatan terbaik dan menjaga kepentingan keselamatan orang awam.
Pihak berkuasa itu turut memberi jaminan bahawa sistem pengawasan keselamatan di Malaysia yang dikawal selia oleh CAAM adalah ketat dan berkesan dalam menguruskan risiko berdasarkan peraturan dan undang-undang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). – MalaysiaGazette