Dr Nur Shasa Ain Tan Sri Abdul Aziz (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR – Kolaborasi di antara semua sektor termasuk pengangkutan, perhotelan serta pusat rekreasi adalah amat penting  bagi memastikan industri pelancongan berjalan lancar dan pantas selepas sempadan negara dibuka bermula 1 April lalu,

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, tanpa salah satu sektor ini, ekosistem pelancongan negara tidak dapat berjalan dengan lancar dan memberi kesan terhadap salah satu sektor penyumbang ekonomi terbesar negara ini.

“Kolaborasi amat penting, jika salah satu sektor ini tidak bersama, maka ini secara tidak langsung akan memberi kesan dan kelewatan dalam usaha kita untuk beralih ke fasa endemik dengan cepat.

“Di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), kami adalah payung bagi semua industri pelancongan, oleh itu kami menyarankan lebih banyak kolaborasi seperti ini dijalankan,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Perjalanan Selamat Kanak-kanak Oleh Ola & Oli di sini hari ini.

Majlis pelancaran Kempen Kid’s Safe Travel disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) semalam.

Nancy menambah, difahamkan kempen Perjalanan Selamat Kanak-kanak ini juga telah berjaya mewujudkan kolaborasi efektif antara ramai pihak termasuk penyertaan dari agensi pengangkutan dari Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan SME-SME kecil yang lahir dari ekosistem pelancongan.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dan bertungkus lumus dalam usaha untuk merealisasikan kempen ini dari awal perancangan sehinggalah tiba pada ke kemuncak hari perasmiannya pada hari ini.

“Saya percaya, kesungguhan ini adalah atas dasar cintakan negara dan minat yang mendalam dalam mempromosikan keindahan negara yang mewah dengan pelbagai adat dan budaya,” ujarnya.

Kata Nancy, ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa inisiatif Kerajaan di bawah agenda ‘Keluarga Malaysia’ kini berjaya menarik perhatian para usahawan dalam membantu ekonomi negara pulih secara holistik.

Jelas beliau, pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu juga merupakan berita gembira buat seluruh rantaian sektor pelancongan dan kebudayaan negara untuk menjana semula pendapatan.

“MOTAC menyasarkan kemasukan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara ke Malaysia pada tahun ini dengan pendapatan sebanyak RM8.6 bilion.

“Meskipun ia adalah unjuran awal yang sudah tentunya akan dipengaruhi oleh keadaan semasa, MOTAC bagaimanapun optimis bahawa pada tahun 2025, penjanaan pendapatan pelancongan antarabangsa dijangka mencecah antara RM47 hingga RM77 bilion menerusi kemasukan seramai 16 hingga 22 juta pelancong antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast