MELAKA – “Seumur hidup mak cik selama 65 tahun, inilah saat sahur terindah yang timbulkan perasaan untuk kembali kepada tradisi sejarah lama waktu mak cik kecil.
“Bila ada program sebegini selepas dua tahun sunyi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, memang terasa sangat kehadiran Ramadan kali ini.”
Itu luahan sebak warga emas Normah Senin, 66, ketika menggambarkan kesayuannya apabila dapat kembali mendengar riuh rendah bunyi alatan muzik tradisional dimainkan beberapa penduduk Kampung Bukit Piatu, pada program ketuk-ketuk sahur untuk mengejutkan penduduk kampung bersahur awal pagi tadi.
Menurutnya, kemeriahan program berkenaan adalah antara acara tahunan yang amat dinanti-nantikan penduduk kampung sekaligus mengembalikan nostalgia cara orang lama berpuasa.
“Dua tahun waktu PKP sebelum ini, Ramadan terasa begitu sunyi sekali tapi pagi ini mak cik sangat gembira kerana sejak tinggal di sini pada 1 Jun 1955, inilah sahur terindah bila semakin ramai penduduk kampung aktif meneruskan program ketuk-ketuk sahur,” katanya.
Pandangan sama dikongsikan Norlila Kassim, 46, yang menyifatkan program itu juga menjadi antara medium penting untuk mengeratkan silaturrahim sesama jiran tetangga.
“Tradisi lama ini wajar menjadi amalan kerana melalui program tahunan inilah kita dapat rapatkan lagi hubungan dengan penduduk kampung sambil memainkan alat muzik tradisional ini.
“Malah, anak-anak yang sebelum ini susah bangun sahur pun akan teruja untuk melihat perarakan sukarelawan ketuk-ketuk sahur mengajak umat Islam berpuasa bagi menunaikan rukun Islam ke tiga ini,” katanya.
Bagi sukarelawan program, Nor Tamizi Jaafar, 25, dia begitu teruja apabila dapat kembali menyertai program berkenaan tahun kerana dapat memainkan alat muzik gendang ibu setelah dua tahun terhenti.
“Memang sejak kecil lagi sudah timbul minat menyertai program ini sebab seronok melihat kemeriahan penduduk kampung berarak keliling kampung untuk kejut sahur.
“Sekurang-kurangnya dengan menyertai program sebegini ia dapat mengelakkan anak muda daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah terutamanya di bulan Ramadan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Piatu, Ramli Awang, berkata program tahunan itu kembali meriah tahun ini sejak ia diadakan 75 tahun lalu.
Menurutnya, kebiasaannya setiap kali program, ia disertai sekitar 20 hingga 30 penduduk kampung terdiri dariapda pelbagai peringkat umur bermula daripada kanak-kanak sehinggalah 40-an.
“Selalunya, mereka akan mula berkumpul jam 4 pagi dan akan berarak dari satu lorong ke satu lorong sambil bermain alat muzik tradisional seperti kompang, gendang ibu dan anak, serunai, gong dan tamborin untuk kejut sekitar 500 penduduk kampung bersahur.
“Setakat ini, memang kehadiran mereka amat dinanti-nantikan penduduk kampung bagi membangkitkan lagi semangat menyambut Ramadan yang diraikan selama sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette