Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir prosiding 1MDB.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau sudah mempunyai perasaan syak wasangka terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Dakwa Mohd Bakke, syak wasangka itu juga menyebabkan beliau untuk tidak bertemu dengan Najib untuk memaklumkan peletakkan jawatanya dalam syarikat dana strategik itu pada 19 Oktober 2009.

“Saya tidak mahu jumpa Perdana Menteri, Najib Razak kerana sudah syak beliau sebenarnya terlibat dengan scheme of things.

“Saya tidak selesa dengannya kerana itu buat keputusan untuk tidak berjumpa dengan beliau. Ini keputusan peribadi saya,” katanya yang merupakan saksi ke-13.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika soal balas dengan peguam bela mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

Mohd Bakke Salleh

Mohd Bakke juga mendedahkan Najib telah memberitahunya supaya memberitahu semua Lembaga Pengarah (BOD) supaya dengan segera membuat keputusan cadangan usaha sama dengan syarikat Abu Dhabi, Petrosaudi Saudi International Limited (PSI).

Sebelum ini juga, Mohd Bakke mendedahkan Najib memberitahunya menerusi telefon supaya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mengkaji transaksi lepas dan hanya beri tumpuan kepada projek usaha sama (JV) PSI.

Dakwanya pesanan itu telah disampaikan oleh Najib sendiri selepas bekas perdana menteri itu selesai bercakap dengan ahli perniagaan yang sedang dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menerusi perbualan telefon semasa satu mesyuarat lembaga pengarah.

Untuk makluman, wang lencongan dari 1MDB sebanyak AS$700 juta itu sebenarnya telah dialihkan ke Good Star Limited yang juga dipercayai dikawal atau milik Jho Low.

Mohd Bakke juga mendakwa syak wasangka itu ‘betul’ apabila beliau bertemu dengan bekas Ketua Eksekutif 1MDB (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Bila saya jumpa dengan Shahrol untuk maklum peletakan jawatan saya, beliau ada beritahu saya semua ini (dana 1MDB) di lencongkan atas arahan Jho Low dan Najib,” ujarnya.

Ketika ini, Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sedang dituduh di mahkamah atas dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB.

Najib didakwa menggunakan kedudukan beliau ketika itu untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Manakala Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) serta 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette