MELAKA – Padah menampar isterinya kerana marah tidak diberikan kunci rumah, seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, S. Aghasitia Lingam, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin di Kompleks Mahkamah Melaka.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya, K. Kaliamma, 31, dengan cara menampar muka mangsa kira-kira pukul 9 malam di Taman Kerjasama, Bukit Beruang, 8 April lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Tertuduh juga didakwa telah mengugut mangsa secara jenayah menggunakan perkataan bunuh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan kejadian berlaku selepas mangsa yang juga pengadu enggan memberikan kunci rumah kepada tertuduh untuknya masuk ke dalam rumah.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan.

Tertuduh yang diwakili Peguam daripada Biro Bantuan Guaman merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai operator kilang dan perlu menanggung keluarga termasuk dua anak yang masih kecil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 berserta syarat tambahan tidak boleh menganggu mangsa.

Beliau kemudian turut menetapkan tarikh 25 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette