covid-19
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Warga emas berumur 60 tahun ke atas mempunyai komorbiditi berisiko tinggi boleh menerima dos penggalak kedua.

Walau bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pengambilan dos penggalak kedua berkenaan tidak diwajibkan.

Jelasnya, pengambilan dos penggalak bagi kumpulan ini dibenarkan dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.

Tambah Khairy, warga emas 60 tahun tanpa penyakit serius namun pernah dijangkiti Covid-19 juga boleh mengambil dos penggalak kedua tiga bulan selepas pulih sepenuhnya.

“Yang sihat boleh dapatkan dos penggalak kedua tapi mereka perlu bincang dengan pengamal perubatan dulu jadi keputusan itu berdasarkan keputusan pengamal perubatan.

“Manakala bagi individu berumur 60 tahun dan ke atas yang telah lengkap mengambil dos penggalak dan didapati mengalami jangkitan Covid-19, mereka layak menerima dos penggalak kedua 3 bulan selepas mereka pulih sepenuhnya,” katanya ketika sidang media yang diadakan di Parlimen, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, individu yang berusia 12 tahun ke atas dan mempunyai masalah pertahanan badan juga boleh mengambil dos penggalak kedua.

“Individu ini boleh ambil dos penggalak kedua selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua,” kata Khairy lagi.

Mengulas lanjut Menteri Kesihatan itu berkata, dos penggalak kedua akan menggunakan vaksin mRNA Comirnaty (Pfizer-BioNTech).

Sementara itu, beliau memaklumkan KKM turut mendapat permohonan dos penggalak kedua bagi bagi individu yang ingin ke luar negara.

“Sebagai contoh, terdapat sesetengah negara di benua Eropah yang tidak mengiktiraf vaksin Sinovac dan Sinopharm sebagai dos primer dan dos penggalak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette