Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) di Sunway Resort Hotel, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 14 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Kementerian Kewangan menyokong Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang diperkenalkan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama institusi kewangan dan agensi berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu merangkumi program seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP), Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Skim Rent to Own (RTO).

Selain itu, kata beliau, i-Biaya juga salah satu komponen di bawah Home Ownership Programme (HOPE) yang memfokuskan kepada ekosistem perumahan secara menyeluruh, termasuk aspek penyediaan dan dasar lain yang berkaitan.

“Saya percaya seluruh Keluarga Malaysia akan mendapat manfaat daripada pelbagai insentif melalui agenda HOPE ini, yang akan membantu mereka memiliki rumah sendiri.

“Bagi Skim Rumah Pertamaku (SRP), inisiatif ini menawarkan kemudahan pembiayaan kepada pembeli rumah pertama, terutama golongan muda.

“Antara ketetapan inisiatif ini ialah menyasarkan golongan mempunyai pendapatan kasar isi rumah bulanan tidak lebih RM10,000 dengan harga rumah sehingga RM500,000 bagi kedua-dua pasaran utama dan sekunder,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran i-Biaya bersama Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di sebuah hotel di sini, petang ini.

Jelas Tengku Zafrul, kerajaan menyediakan peruntukan dana yuran jaminan bagi membolehkan bank menawarkan pembiayaan melebihi 90 peratus dengan jaminan daripada Cagamas SRP.

Ini bermakna, kata beliau, Cagamas SRP akan menjamin sehingga 20 peratus nilai pembiayaan, selaras dengan komitmen kerajaan membantu golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.

Beliau turut memaklumkan, sejak SRP dilancarkan sehingga Februari tahun ini, hampir 67,000 isi rumah berjaya memiliki rumah idaman pertama.

Katanya, SRP membantu dengan nilai pembiayaan RM14.8 bilion, di mana lebih 90 peratus adalah golongan B40, manakala dari segi umur, 92 peratus berumur 35 tahun dan ke bawah.

“Turut menyumbang kepada kejayaan ini ialah penglibatan 26 bank dalam SRP. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang telah diberi.

“Tahun ini, SRP dijangka memanfaatkan 25,000 pemohon di kalangan B40 dan M40 dengan anggaran nilai pembiayaan sebanyak RM5.9 bilion.

“Salah satu faktor penyumbang kepada sasaran ini ialah komitmen kerajaan melalui insiatif jamin kerja yang menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata, dengan fokus kepada peluang pekerjaan serta peningkatan kemahiran di kalangan B40 dan M40, termasuk belia, peningkatan pendapatan yang diperolehi membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai skim pemilikan kediaman melalui i-Biaya.

Sebagai tanda penghargaan, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada lima bank yang berjaya mencatat bilangan keseluruhan tertinggi bagi pembiayaan SRP yang diluluskan dan ditawarkan serta mendapat kelulusan daripada Cagamas SRP Berhad sejak pelancarannya sehingga Disember tahun lalu.

Kata Tengku Zafrul, 81 peratus keseluruhan jumlah kelulusan adalah daripada AmBank Islamic Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad dan Maybank Islamic Berhad.

“Anugerah ini mencerminkan komitmen dan kerjasama yang diberikan institusi kewangan dalam menjayakan inisiatif kerajaan dan diharapkan akan mendorong institusi kewangan lain untuk bersama berusaha mencapai matlamat pemilikan rumah bagi golongan B40 dan M40.

“Adalah menjadi harapan saya supaya i-Biaya, terutama inisiatif SRP dapat diperluaskan lagi kepada golongan muda, pekerja gig dan golongan berpendapatan rendah,” katanya. – MalaysiaGazette