Mohd Zubil (tiga dari kiri) meninjau persediaan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan Op Khas Pagar Laut di Kuala Linggi, Melaka baru-baru ini.

KUALA LINGGI – Aktiviti jenayah rentas sempadan sepanjang Aidilfitri ini akan terus dikawal ketat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Op Khas Pagar Laut.

Ketua pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, bagi tujuan itu, seramai 2,500 pegawai dan anggota akan digerakkan dalam operasi khas itu yang akan bermula pada 19 April ini sehingga i17 Mei di seluruh perairan negara.

Menurutnya, kawalan lebih ketat akan ditumpukan di perairan Sabah, Labuan dan Sarawak yang menyaksikan hampir 1,000 pegawai serta anggota Maritim ditugaskan di kawasan terbabit iaitu 500 anggota di perairan Sabah dan Labuan selain 450 lagi di Sarawak.

“Kita sedar akan ada ancaman yang bermusim berdasarkan trend aktiviti jenayah di musim perayaan Aidilfitri sebelum ini. Sebab itu Maritim Malaysia tidak akan mengendurkan kesiapsiagaan operasi.

“Dijangkakan musim perayaan ini akan membuka ruang jenayah di laut terutamanya selepas sempadan antarabangsa dibuka pada 1 April lepas.

“Pelancaran Op Khas Pagar Laut ini pastinya akan mengukuhkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan serta penguatkuasaan terutamanya di setiap titik panas seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota APMM di Ibu Pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi di sini malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Iskandar Ishak.

Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata, Op Khas Pagar Laut yang bermula sejak 2016 memberikan cabaran dan ancaman yang berbeza mengikut negeri-negeri.

“Sebagai contoh negeri-negeri di sepanjang Selat Melaka berhadapan dengan aktiviti penyeludupan dadah, Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan kontraband.

“Manakala di Pantai Timur terancam dengan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula turut berhadapan dengan ancaman penyeludupan kontraband, PATI, dadah serta barang kawalan bersubsidi,” katanya.

Ditanya mengenai cuti perayaan setiap anggotanya tahun ini, beliau berkata, tiada pembekuan cuti dilakukan sebaliknya sebanyak 50 peratus anggotanya akan bertugas secara bergilir sepanjang Aidilfitri.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zubil berkata, Operasi Khas Pagar Laut siri 1/2021 tahun lalu menyaksikan 21 tangkapan membabitkan PATI, penyeludupan dadah, kontraband, ketum dan lain-lain dengan nilai rampasan sekitar RM 38.8 juta.

“Manakala bagi tahun ini setakat 8 April lalu, sebanyak 257 kes tangkapan direkodkan atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan dadah, kontraband, pencerobohan bot nelayan asing dan lain-lain dengan nilai rampasan lebih RM49.2 juta,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast