KUALA LUMPUR – Saksi kelima yang memberi keterangan dalam kes remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella, didakwa membuat 10 keterangan palsu di Mahkamah Sesyen di sini.
Ketua pembelaan Nur Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, penipuan pertama saksi tersebut, Yasmin Nahar Mahmood, 19, adalah apabila dia menyatakan ayahnya telah melakukan carian di Google bagi menperoleh alamat Rumah Bonda.
Menurut Nur Aminahtul Mardiah, ayah Yasmin adalah seorang buta huruf yang tidak boleh membaca dan menulis.
“Di hari pertama Yasmin memberi keterangan Yasmin cakap ayah tahu pasal Rumah Bonda kerana ayah Google di media sosial. Setuju? Saya cadangkan ini penipuan pertama di mahkamah ini kerana ayah Yasmin tidak tahu membaca, tidak tahu menulis.
“Kanapa Yasmin ingin menipu sedangkan dalam report yang kami dapat memang sahkan bahawa ayah Yasmin tidak tahu membaca, tidak tahu menulis Yasmin,” dakwa Nur Aminahtul Mardiah.
Bagaimanapun Yasmin tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.
Nur Aminahtul Mardiah turut mendakwa Yasmin telah menipu apabila menyatakan punca kemarahan pengasas Rumah Bonda terhadap Bella hingga menderanya disebabkan remaja OKU tersebut menarik langsir hingga jatuh.
Menurut peguambela tersebut, kenyataan yang diberikan oleh Yasmin mengenai langsir hari ini adalah penipuan ketujuh dilakukannya.
Beliau menyatakan insiden itu berlaku pada 10 Disember 2020 sedangkan gambar-gambar bukti yang ada tidak menunjukkan sebarang kecederaan terhadap Bella sehinggalah pada April 2021.
Peguam: Ingat tak sebelum kita rehat, Yasmin ada cerita pasal langsir. Yasmin kata Bainun mula naik hantu cadangan peguam dengan Bella setelah langsir tercabut. Betul?
Peguam: Saya kemukakan perbualan WhatsApp berkaitan langsir yang saksi katakan tadi. Yasmin tengok tarikh itu bila.
Yasmin: Disember 10, 2020.
Peguam: Gambar itu gambar apa?
Yasmin: Gambar langsir.
Peguam: Langsir itu bagaimana keadaanya.
Yasmin: Atas katil.
Peguam: Tertanggal, betul? Saya katakan perkara ini berlaku pada Disember 2020. Dan, Bella sehingga bulan April 2021 tidak ada sebarang kecederaan melalui gambar-gambar yang telah ditunjukkan kepada Yasmin tadi. Setuju?
Yasmin: Saya tidak pasti.
Keterangan palsu yang lain termasuk apabila Yasmin memberitahu mahkamah bahawa beliau dilayan seperti hamba abdi termasuk terpaksa menjaga anak-anak angkat Siti Bainun ketika mula masuk ke Rumah Bonda.
Sedangkan pada waktu itu Siti Bainun ada mengupah bibik atau pembantu untuk menguruskan rumah perlindungan itu.
Yasmin juga didakwa menipu apabila memberitahu mahkamah bahawa dia masuk ke Rumah Bonda pada bulan Mac 2020 sedangkan terdapat bukti dalam laporan polis bahawa beliau berpindah kerumah perlindungan itu pada Oktober 2020.
Dalam perbicaraan yang bersambung pada pukul 2.30 petang itu mahkamah ditunjukkan sebanyak 11 klip video sebagai bukti.
Ketika tayangan dua daripada video terbabit orang awam diminta keluar kerana pada waktu itu saksi berusia di bawah umur.
Video-video itu termasuk majlis hari jadi memaparkan kegembiraan Yasmin ketika tinggal bersama-sama tertuduh. Berlainan dengan dakwaannya bahawa dia dilayan seperti hamba ketika berada di Rumah Bonda.
Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung pada Rabu depan.- MalaysiaGazette