Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi VLN foreign visa system Ultra Kirana UKSB
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan sedikit emosi menyoal mengapa dirinya perlu dizalimi dengan mendakwanya melakukan penyewelengan dana Yayasan Akalbudi.

Sedangkan, katanya, Yayasan Akalbudi sebenarnya diasaskan olehnya untuk membantu golongan miskin malah sehingga kini sekurang-kurangnya telah menyumbang lebih RM109 juta bagi tujuan itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sungguh tidak masuk akal sama sekali apabila pendakwaan sanggup mendakwa kononnya tidak ada satu sen sekali pun telah digunakan untuk membantu rakyat miskin menggunakan dana berkenaan.

“Saya telah diajar untuk memegang prinsip, ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu’ dan sehingga ke hari ini itulah juga yang saya turuti. Kerana itu juga sebahagian besar daripada sumbangan kita tidak pernah senaraikan di mana-mana.

“Hari ini hari Jumaat, saya tidak mahu menyanggah mana-mana pihak tapi inilah prinsip saya ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu ketahui’.

“Senarai D5 dan D6 (bahan bukti senarai sumbangan Yayasan Akalbudi) dikemukakan pada Yang Arif, saya beri pengakuan tiada satu sen diberi untuk menolong orang miskin adalah tidak benar,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi ketika pemeriksaan utama peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional ketika ini sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Untuk makluman pada November 2019 dalam penyataan pembukaan kes membabitkan penyewelengan Yayasan Akalbudi itu, pendakwaan mendakwa tiada satu sen pun daripada RM31 juta dana digunakan bagi membantu orang miskin.

Sebaliknya Ahmad Zahid didakwa telah membelanjakan bagi kepentingan sendiri, termasuk pembayaran kad kredit, membeli insurans kenderaan dan lesen motor persendirian  serta lain-lain.

Sambung Ahmad Zahid lagi, adakah wajar untuk dirinya diperlakukan seumpama itu sedangkan dirinya telah menggunakan yayasan itu bagi tujuan amal jariah dan sumbangan orang miskin sejak 1997 lagi.

”Saya mahu keadilan diberikan kepada saya kerana sumbangan ini saya masukkan dengan tujuan hati yang baik. Adakah ini sesuatu yang harus dimalukan, diaibkan, dizalimi kepada saya.

”Ini mungkin disebabkan kelemahan teknikal setiausaha syarikat tetapi ingatlah niat saya itu dilakukan demi Allah semata-mata,” ujarnya.

Rabu lepas pada hari pertama membela diri, Ahmad Zahid mendedahkan yayasan itu telah menyumbang kerja-kerja amal jariah dan kebajikan termasuk di luar negara melibatkan wang puluhan juta antaranya pembinaan masjid di Yunan, China dengan kos RM3.8 juta, ubah suai masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan bernilai AS$1 juta.

Yayasan itu juga pernah terlibat dengan pengubahsuaian sebuah gereja lama yang dibeli oleh komuniti Islam di Perth, Australia untuk dijadikan masjid selain menghulurkan sumbangan kepada anggota keselamatan negara yang terlibat dengan bencana pesawat MH17.

Prosiding ditangguh sehingga 23 April ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Yayasan Akalbudi bina masjid di China, bantu insiden MH17 – Zahid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast