Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir untuk pembelaan rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 13 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan Akalbudi, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan yayasan itu telah menyumbang kerja-kerja amal jariah dan kebajikan termasuk di luar negara melibatkan wang puluhan juta  sejak 1997.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri memberitahu, antara sumbangan besar termasuklah pembinaan masjid di Yunan, China dengan kos RM3.8 juta, ubah suai masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan bernilai AS$1 juta.

Juga pernah terlibat dengan pengubahsuaian sebuah gereja lama yang dibeli oleh komuniti Islam di Perth, Australia untuk dijadikan masjid selain menghulurkan sumbangan kepada anggota keselamatan negara yang terlibat dengan bencana pesawat MH17.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau sendiri turun bersama-sama pasukan keselamatan melawat ground zero di Ukraine, sempadan Rusia selepas pesawat MAS itu ditembak jatuh dan terhempas.

“Sebenarnya selain membantu dalam membina dan mengubahsuai masjid, Yayasan Akalbudi juga telah banyak menyumbang dan menanggung kos berpuluh-puluh rumah anak yatim di seluruh negara bernilai jutaan ringgit selain turut membiayai pembinaan dewan-dewan kemudahan awam untuk kegunaan kuil dan gereja.

“Sebagai rakyat Malaysia yang sebati dan bertanggungjawab lagi-lagi ketika bergelar ahli politik, saya memang telah berlaku adil bagi memastikan semua terjaga, kemudahan kepada semua penganut agama lain.

“Untuk itu, pada awalnya sebahagian besar daripada dana Yayasan Akalbudi adalah daripada sumbangan saya sendiri, hasil dari gaji dan simpanan saya antaranya keuntungan pembelian dan penjualan saham sejak bergiat aktif di dalam dunia korporat.

“Namun selepas nama Yayasan Akalbudi dikenali umum kerana kerja-kerja kebajikan yang kita laksanakan ramai tampil menyumbang sejak 2013, yayasan itu mula mendapat sumbangan daripada rakan-­rakan seperti Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Ali (saksi pendakwaan ke-29), Tan Sri Syed Mokhtar Al-­Bukhary, Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Ahmad Johan.

“Tetapi saya tegaskan bahawa Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali meminta tetapi hanya mempromosikan kepada mana-­mana individu mahu pun syarikat bahawa mereka boleh menyumbang dana kepada Yayasan Akalbudi. 

“Yayasan Akalbudi tidak pernah sama sekali menyekat dan menghalang mana-mana pihak daripada menyumbang kepada Yayasan Akalbudi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal ketika hari pertama prosiding membela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga memberitahu Yayasan Akalbudi memberikan biasiswa kepada para pelajar yang memasuki kolej sementara menunggu wang Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dikeluarkan.

Beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga mengesahkan sejak penubuhan Yayasan Akalbudi, kesemua pemegang amanahnya tidak pernah membantah dana-­dana yang disalurkan kepada tujuan pembinaan masjid atau maahad, rumah anak yatim, surau dan sebagainya.

Ahmad Zahid juga berkata, pendapatannya semasa dalam kerajaan lebih kurang RM50,000 sebulan dan simpanannya ketika ini sebanyak lebih RM2 juta di dalam akaun simpanan di Bank Islam Cawangan KL Sentral.

Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini. – MalaysiaGazette