Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR – Pasport seorang wanita yang didakwa tidak fasih berbahasa Melayu sudah pun diperbaharui oleh Jabatan Imigresen dekat UTC Pulau Pinang pada 22 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, para pegawai imigresen tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

“Namun demikian, ingin saya perjelaskan bahawa dalam melaksanakan tanggungjawab, pegawai-pegawai imigresen akan melaksanakan semakan rawak dari pelbagai aspek bagi mengesahkan permohonan.

“Walau bagaimanapun, semakan ini perlu dilakukan secara profesional dan berhemah,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ruslin berkata, pihaknya komited dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan sentiasa mengingatkan semua pegawai untuk menyantuni pelanggan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Baru-baru ini tular seorang lelaki yang kesal dan kecewa apabila kakitangan imigresen di UTC Komtar enggan memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu, biarpun seorang warga negara Malaysia.

Dakwa lelaki itu, ibunya boleh berbahasa Melayu tetapi terhad kerana tidak sekolah.

Malangnya alasan itu tidak diterima. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Duk bertahun2 kat Malaysia pun tak boleh berbahasa kebangsaan…Bangla dan Mynmar yg baru duk Malaysia pum pandai Bahasa Kebangsaan…nampak sangat tak bergaul dgn masyarakat majmuk…

Comments are closed.