Dua pelancong dari Holland bersama anak mereka bergambar dengan para pesilat lincah dalam Program Berkelah Sambil Berdakwah di Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Mencuba masakan tradisional rakyat Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri seperti  lemang dan rendang selain demonstrasi silat lincah menjadi daya tarikan utama beberapa pelancong asing di Armenian Park,  Lebuh Acheh di sini.

Para pelancong  yang hadir itu turut bertanyakan soalan mengenai masakan tradisional berkenaan dan juga demonstrasi silat lincah yang dipertontonkan.

Kehadiran para pelancong dari Jerman, Holland, Australia dan China itu juga diberikan kesempatan untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan agama Islam dan juga negara Malaysia.

Beberapa pelancong asing yang menyertai Program Berkelah Sambil Berdakwah menikmati juadah Aidilfitri selain membaca risalah mengenai Islam di Armenian Park, Lebuh Acheh, Pulau Pinang.

Program Berkelah Sambil Berdakwah itu menggabungkan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (myIKUT), Gerakan Sukarelawan Malaysia (GSM), Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) dan Pertubuhan Silat Lincah Pulau Pinang.

Penaung myIKUT  yang  juga Pengerusi  Pertubuhan Silat Lincah Pulau Pinang , Zolkifly Md. Lazim memberitahu, program tersebut antara lain bagi mempromosi masakan tradsional terutama sewaktu sambutan hari raya.

Demonstrasi silat lincah menjadi daya tarikan para pelancong luar negara dalam Program Berkelah Sambil Berdakwah di Armenian Park, Lebuh Acheh, Pulau Pinang.

“Mereka, para pelancong luar negara begitu gemar masakan seperti lemang dan rendang selain ketupat malah ada yang bertanya cara lemang dibakar dalam buluh,” katanya.

Jelas beliau, Program Berkelah Sambil Berdakwah itu  bertujuan merapatkan silaturahim penduduk tempatan dan pelancong luar negara.

“Dalam program ini, kita tunjukkan keharmonian penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Di samping itu, para pelancong berkenaan juga begitu berminat dengan seni mempertahankan diri seperti silat lincah.

“Kita jelaskan kepada mereka bahawa seni silat lincah ini bukan sahaja ilmu mempertahankan diri, malah salah satu cara untuk menjaga sihat tubuh badan,” katanya.

Di samping itu, Zolkifly memberitahu, ada juga dalam kalangan pelancong luar negara yang bertanyakan mengenai Islam.

“Dari penjelasan yang kita beri, mereka faham bahawa Islam itu mengamalkan keamanan, kesejahteraan, saling tolong-menolong dan banyak lagi.

“Kita juga edarkan risalah-risalah berkaitan Islam apabila ada yang  bertanyakan lebih terperinci mengenai Islam. Malah dari kalangan NGO yang terlibat dalam program ini, ada yang memiliki latarbelakang guru agama seperti ustaz dan sebagainya.

“Mereka ini turut membantu memberi penjelasan mengenai Islam kepada pelancong yang hadir,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast