Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Program Madani Rakyat Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta, Sungai Nibong.

GEORGE TOWN – Kerajaan akan perkenalkan kaedah kenaikan gaji penjawat awam berdasarkan prestasi kerja individu tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah itu bagi memastikan kenaikan gaji secara automatik diperoleh oleh pekerja yang bertungkus lumus dalam menjalankan tugas.

“Sekarang ini umpamanya ia (kenaikan gaji) ikut tahun.. Kadang-kadang orang (penjawat awam) itu lembap, tidak hadir kerja serta ada masalah disiplin terus dinaikan gaji secara automatik.

“Kita nak ingatkan (kenaikan gaji Disember nanti) ia tidak automatik. Mungkin automatik untuk 95 peratus (penjawat awam) manakala lima peratus lagi yang rasa lembap, ada masalah, kita akan perkenalkan kaedah supaya mereka dinafikan (kenaikan).

“Kenaikan itu tidak adil kepada orang yang bertungkus lumus bekerja kerana mereka yang malas, lembab pun dapat kenaikan secara automatik.. jadi ini harus diberikan pertimbangan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta, Sungai Nibong di sini.

Media semalam melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa peningkatan gaji penjawat awam mulai Disember tahun ini mampu dilaksana menerusi kawalan pengurusan kewangan kerajaan.

Menteri Kewangan itu berkata, peningkatan gaji penjawat awam, dijangka membabitkan kos lebih RM10 bilion mulai tahun depan, boleh ditampung dengan pengurusan kewangan yang lebih tegas. – MalaysiaGazette