Anwar Ibrahim hadir Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sungai Nibong, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN –  Pulau Pinang bakal menerima bekalan air melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan pembekalan air itu dibuat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Jelas beliau, fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.

“Kita terima berita baik Tuanku Sultan Nazrin dan kerajaan negeri, Menteri Besar Datuk Seri Saarani bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Sungai Perak dan mengalir melalui industri hijau Kerian ke Seberang Perai.

“Fasa pertama akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap. Jadi saya percaya dengan hubungan yang lebih baik dengan Kedah sejak akhir-akhir ini, mudah-mudahan dapat kekal dan saya percaya boleh dirunding cara yang lebih profesional keperluan Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah dari soal perbekalan air,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta, Sungai Nibong di sini.

Media pada 3 Januari lalu, memorandum persefahaman (MoU) atau perjanjian mengenai pembekalan air terawat ke Pulau Pinang melalui Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) tidak dapat dimeterai tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata , ia susulan banyak proses perlu dilalui seperti kelulusan kementerian berkaitan mengenai pembinaan loji rawatan air (LRA) di wilayah utara Perak, selain beberapa perkara yang perlu dibincang seperti kadar tarif jualan

Bagaimanapun, Anwar ketika lawatan ke Pulau Pinang pada 16 Februari lalu memaklumkan, Kerajaan Persekutuan akan menyegerakan projek Air Perak Pulau Pinang selepas mengumumkan untuk membangunkan Kerian Hi-Tech yang dijangka membawa limpahan pelaburan dan pembangunan ekonomi ke SPS termasuk di Sungai Acheh. – MalaysiaGazette