KUALA LUMPUR – Rakyat disaran supaya lebih sensitif dan dapat mengawal diri daripada menulis perkara-perkara berkait dengan berkaitan raja, agama dan kaum (3R) ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu-isu sebegini menyebabkan terlalu banyak berita sedemikian dipolemikkan dalam pelbagai platform.
Kata Ahmad Zahid, penulisan secara semberono menyebabkan pelbagai perdebatan termasuklah menganggu-gugat keharmonian rakyat berbilang bangsa di negara ini.
“Banyak sangat isu 3R yang dipolemikkan ketika ini. Kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian bangsa dan kaum perlu memahami sensitiviti membabitkan tiga perkara ini.
“Pada hemat saya harus ada keseimbangan. Tidak perlu sehingga tindakan perundangan digunakan untuk mengawal tetapi kita sendiri perlu mengawal diri terutama bagi penulis. Kita jangan sentuh isu sensitif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Kompleks Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Majlis Aidilfitri Penulis Bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah GAPENA, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid mengulas prestasi Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang menurun di tangga ke-107 berbanding ke-73 tahun lalu.
Beliau mengakui elemen 3R memberi kesan langsung kepada ranking negara dan mencadangkan supaya Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh melakukan sesuatu supaya soal kebebasan media dapat dipertingkatkan semula.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap GAPENA akan menggunakan media sosial untuk menghasilkan karya budaya dan kesusasteraan memandangkan kini media arus perdana telah diambil oleh platform berkenaan. – MalaysiaGazette
















