Izzah peruntukan PH BN
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan dinasihatkan agar berhati-hati untuk menarik subsidi petrol dan diesel kerana ia berisiko memberi kesan sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan ketika ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengulangi kesilapan sama yang pernah dilakukan kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri.

Katanya, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008, kerajaan Abdullah mengapungkan harga petrol dan diesel mengikut harga pasaran.

Akibatnya, langkah itu telah memakan diri apabila Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, selain tumbang di lima negeri secara serentak di Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.

“Jadinya, saya yang sayangkan Kerajaan Persekutuan ini sekadar menasihatkan perdana menteri dan menteri Kabinet supaya cermat-cermat apabila bertindak dalam soal harga petrol dan diesel.

“Niat kerajaan baik. Alasan kurangkan subsidi petrol dan diesel itu logik, munasabah dan ada asas dan meritnya tetapi, risikonya amat besar.

“Jangan kerana tarik subsidi petrol dan diesel maka rakyat pula tarik balik sokongan kepada kerajaan seperti yang dialami oleh kerajaan Perdana Menteri Tun Abdullah suatu waktu dulu,” katanya menerusi kenyataan.

Kelmarin, media asing melaporkan, bahawa Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini.

Menurut laporan, ia satu pembaharuan ekonomi utama yang akan menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Malah, memetik sumber rasmi dan industri oleh media terbabit menyatakan, harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan ia akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit.

Dalam pada itu Hassan memuji tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kerana cepat dan pantas menyangkal laporan media luar negara kononnya kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga bahan api itu.

Semalam, Fahmi dilaporkan berkata, Kabinet belum berbincang mengenai kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

Justeru, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menyangkal laporan media luar kononnya kerajaan membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga bahan bakar itu. – MalaysiaGazette