MELAKA – Dua koperal trafik Bukit Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM2,000 sebagai habuan tidak melakukan saringan ujian air kencing terhadap dua lelaki Januari lalu.
Tertuduh, Mohd Zulkhairy Zakaria, 39, dan Yaakub Yusoff, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dua pertuduhan terhadapnya dicakan jurubahasa dihadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan pertama, anggota berpangkat koperal di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman itu didakwa meminta suapan iaitu wang berjumlah RM2,000 daripada dua lelaki berusia 23 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa menerima wang suapan berkenaan daripada individu sama.
Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap dua lelaki berkenaan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan pertama dilakukan di Jalan Simpang Ampat, Alor Gajah di antara 1.30 pagi dan 2 pagi manakala kesalahan kedua di Hentian Rehat & Rawat Ayer Keroh (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kira-kira pukul 2.45 pagi pada 5 Januari 2026 lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh atas faktor kesalahan yang dilakukan kedua-dua mereka adalah serius.
Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan memandangkan masing-masing telah berkahwin dan mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah.
Zulkhairi katanya mempunyai tiga anak masih bersekolah, hanya berpendapatan RM3,700 sebulan isteri tidak bekerja dan menanggung ibu sakit kencing manis kronik.
Yaakub pula menyara empat orang anak dan berpendapatan kasar RM9,000 sebulan termasuk gaji isteri yang bekerja sebagai guru.
Mohamad Kamil pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.
Mahkamah turut menetapkan 11 November ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















