IPOH – Seorang pekerja pusat cuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan cubaan membunuh seorang anggota polis trafik dengan memandu kereta, pada minggu lalu.
Tertuduh, K Viknes, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa cuba membunuh Lans Koperal Badrul Izwanu Pauzi, 29, dengan memandu kereta jenis Honda Civic dan mengetahui perbuatan itu menyebabkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab dalam daerah Ipoh, sekitar jam 11 pagi, pada 24 September 2026.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, dan jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah didenda.
Timbalan Pendakwa Raya, M Raveenaa memohon jaminan sebanyak RM100,000 kepada tertuduh memandangkan ketika kejadian mangsa yang dirempuh merupakan seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.
Beliau juga mencadangkan dikenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Peguam yang mewakili tertuduh, Jagdave Singh, memohon mahkamah membenarkan jaminan munasabah memandangkan anak guamnya yang masih bujang menanggung ini dan dua adiknya yang masih bersekolah dengan pendapatan RM50 sehari.
Beliau juga memohon mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kerana tertuduh masih perlu berhadapan dengan lapan lagi pertuduhan kesalahan lain.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan membenarkan semua syarat tambahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Oktober.
Sementara itu, pada prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Viknes juga dituduh atas lapan pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah, memandu kereta secara melulu hingga membahayakan dan gagal mematuhi isyarat atau arahan untuk berhenti.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis trafik patah tangan kiri dan kaki kanan selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR).
Kejadian yang tular di media sosial itu berlaku di lampu isyarat berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, Jalan Silibin, apabila lelaki berkenaan membuat pusingan U dari lorong kiri lalu merempuh salah seorang anggota polis trafik yang mengejarnya.
Dia yang melarikan diri ke arah Gunung Lang turut bertindak memandu secara melawan arus di kawasan berhampiran dan terbabas di sekitar lampu isyarat Taman Wing Onn sebelum ditahan polis. – MG Perak
















