Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan isteri Reem Al-Minawi menyantuni tetamu dari Palestin pada Majlis Ramah Mesra dan Menyambut Keluarga Gaza di kediamannya Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 05 MEI 2024.

BANGI – Bunyi letupan mercun dan kepulan asap bunga api menjadi salah satu trauma yang masih menggangu minda anak-anak Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Meskipun telah berada di tanahair sejak tiga minggu lalu, namun keseronokkan kanak-kanak bermain mercun dan bunga api yang menjadi kebiasaan setiap kali menjelang Aidilfitri rupa-rupanya, menjadi sebahagian daripada igauan ngeri bagi dua daripada tiga anak-anak Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu.

Menceritakan mengenai perkara tersebut, Muhammad Nadir berkata, anak-anaknya kerap bertanya, adakah Malaysia turut menerima ancaman tentera Israel.

“Saya tengok ketiga-tiga anak saya ini masih ada tanda-tanda trauma lagi, masih terkejut kalau terdengar bunyi mercun.

“…dan kalau nampak asap daripada bunga api pula, mereka akan kata, adakah itu tempat berlakunya letupan dan sebagainya.

“Saya dan isteri sedang mengubah pemikiran mereka terhadap perkara itu dan proses perubahan itu sememangnya memakan masa sedikit.

“Insya-Allah, dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia, saya rasa usaha nak membetulkannya akan berjaya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Menyambut Keluarga Gaza, di kediaman ayahnya di sini, hari ini.

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menyantuni tetamu pada Majlis Ramah Mesra dan Menyambut Keluarga Gaza di kediamannya Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 05 MEI 2024.

Mengulas lanjut, Muhammad Nadir yang kini tingal bersama keluarganya dengan menyewa sebuah rumah berkata, bukan setakat bunyi mercun dan asap bunga api sahaja malah, sekiranya melihat asap daripada pembakaran sampah terbuka turut memberi kesan kepada mereka hingga beranggapan telah berlaku serangan genosid oleh tentera Israel.

Malah, anak-anaknya akan berteriak jika ternampak kubah-kubah masjid dengan mengatakan itu adalah kubah Masjid Al-Aqsa.

“Begitulah yang dialami oleh anak-anak saya ketika ini sebab mereka dah duduk dalam situasi seperti itu (peperangan) sejak enam bulan sebelum lalu,” ujarnya.

Menurut Muhammad Nadir lagi, sejak pulang ke Malaysia sehari sebelum sambutan perayaan Aidilfitri lepas, anak-anaknya dilihat seakan terkejut dengan keadaan di dalam negara yang aman tanpa ada sebarang pertumpahan darah berlaku.

Jelasnya, anak-anaknya juga ada melahirkan kegirangan apabila dapat membeli apa sahaja yang mereka mahukan tidak seperti ketika mereka berada di bumi Gaza.

Tambah beliau, apa yang paling mengejutkan mereka ialah melihat bagaiana rakyat Malaysia boleh mencintai Palestin menerusi perhimpunan keamanaan yang dianjurkan di sini.

“Macam semalam saya bawa mereka melihat demonstrasi di kedutaan Amerika Syarikat, isteri saya berdoa sambil menangis lebih-lebih lagi bila lihat ramai orang berdoa untuk kesejahteraan Palestin.

“Mereka (isteri dan anak-anak) tak sangka walaupun pada asalnya menyangka Gaza itu seperti dipinggirkan tetapi apabila melihat sendiri situasi di sini mereka tahu rakyat Malaysia boleh melakukan apa yang boleh dilakukan,” tambahnya.

Muhamad Nadir mendirikan rumah tangga dengan seorang balu pejuang Palestin, Reem Al-Minawi.

Hasil perkahwinan itu beliau dikurniakan tiga orang anak yang diberi nama Hauraq, Qamar dan Ibrahim.

Dalam pada itu, Muhammad Nadir berkata, beliau turut mempunyai tiga orang anak angkat yang merupakan warga Palestin.

Katanya, salah seorang daripada anak angkatnya itu telah bermimpi ayahnya yang mati syahid berpesan agar dia tidak meninggalkan bumi Gaza walau apa pun yang berlaku.

Ujarnya, pesanan itu telahpun menyebabkan anak angkatnya tetap tinggal di bumi Palestin meskipun ada usaha dilakukan untuk membawanya keluar ke tempat yang selamat.

“Dia dah berkahawin dan tinggal bersama dengan suaminya. Dia tetap dengan pendirian untuk mendengar pesanan mimpi yang disampaikan oleh ayahnya untuk terus tinggal di Gaza meskipun suatu hari nanti dia mungkin juga dijemput ilahi,” katanya. – MalaysiaGazette