Orang ramai hadir seawal pagi untuk melakukan proses pemindahan Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel atau Akaun 3 KWSP ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Rancangan Kerajaan Madani untuk memperkenalkan Akaun 3 bagi membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sebahagian caruman bulanan mereka memberi kesan baik dan buruk kepada pencarum apabila mereka bersara.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, sudut positif dan jangka pendek, ia memberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan tersebut pada waktu kecemasan.

Bagaimanapun ia akan memberi impak besar kepada simpanan hari tua yang akan berkurang buat pencarum.

“Daripada sudut yang bertentangan, pilihan ini seolah-olah meletakkan beban ekonomi atas kepala rakyat, walhal ini merupakan tanggungjawab kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara dan mata wang ringgit.

“Inflasi yang tinggi bakal ditanggung dengan penggunaan duit KWSP akaun 3 setiap masa. Tidak mustahil, akaun 3 ini akan sentiasa “kering” kerana kos sara hidup yang meningkat,” katanya menerusi kenyataan.

Shahir berkata, sebelum pelaksanaan itu, pihaknya telah menyarankan agar perkara berkenaan dikaji semula oleh kerajaan dengan melihat kembali tujuan sebenar penubuhan KWSP di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) iaitu menyediakan “faedah persaraan” kepada pencarum melalui pengurusan simpanan.

Shahir Adnan

Ia bukannya satu bentuk simpanan wang yang boleh digunakan sesuka hati, lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran negara menua pada 2030.

“Namun pandangan tersebut tidak diendahkan seakan-akan Akaun 3 bakal menjadi tempat pengeluaran wang apabila subsidi petrol ditarik balik, seterusnya segala harga barangan akan meningkat. Dengarlah denyut nadi rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette