Keadaan bahagian badan Faisal Halim yang disimbah asid.

KUALA LUMPUR – Belum pun reda Akhyar Rashid disamun Khamis lalu, hari ini pemain skuad kebangsaan dan sayap Selangor, Faisal Halim pula disimbah asid.

Menerusi gambar yang tular, Faisal yang tidak berbaju dengan kesan terbakar dan luka pada badannya.

Kesan cedera turut kelihatan pada tangan dan muka.

Difahamkan, Faisal dipercayai disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali ketika berada di pusat beli-belah di Petaling Jaya petang tadi.

Selangor FC dalam kenyataannya berkata, pihaknya memandang serius terhadap insiden Faisal Halim yang disimbah asid dan akan bekerjasama dengan polis serta pihak berkuasa untuk melaksanakan siasatan terperinci.

“Selangor FC menyeru para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh negara untuk mendoakan dan memberi sokongan moral kepada Faisla Halim dan keluarganya serta menghormati privasi beliau pada masa ini,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, Akhyar yang juga pemain Terengganu FC kerugian hampir RM5,000 setelah disamun dua lelaki bersenjata di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pemain berusia 25 tahun itu disamun dua lelaki berpakaian gelap, memakai topeng muka serta membawa senjata besi boleh laras. – MalaysiaGazette