Kenderaan yang menggunakan gambar Sultan Ibrahim.

KUALA KUBU BAHARU – Dua lelaki tempatan telah ditahan susulan penggunaan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai pelekat dan poster kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, tangkapan itu dibuat selepas menerima laporan polis petang semalam.

Hasil siasatan polis mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda berwarna hijau itu dinaiki dua lelaki warga tempatan.

Kenderaan tersebut pula diletakkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri ke-10 serta di belakangnya terdapat bendera parti Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Faizal menambah, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 4 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Kedua-dua mereka sudah direman selama tiga hari mulai hari ini hingga 7 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Ahmad Faizal berkata, jika sabit kesalahan di bawaj Seksyen 4 (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,  mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tak lebih RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 pula menetapkan denda RM5,000 atau penjara tak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, katanya.

Beliau mengingatkan supaya parti politik supaya tidak memainkan isu sensitif  menyentuh 3R (agama, bangsa, raja) kerana boleh mewujudkan keadaan tidak harmoni dan ketidaktenteraman dalam masyarakat. – MalaysiaGazette

Gambar Yang di-Pertuan Agong, bendera Johor digunakan dalam kempen PRK

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.