Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan penerima sumbangan selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan kepada Mangsa Bencana Taman Bukit Permai dan Taman Bukit Permai 2 di Dewan MPAJ Cheras Baru, Ampang. Foto AFFAN FAUZI, 16 APRIL 2022.

AMPANG – Calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amiruddin Shari menafikan kepada media mengenai kehadiran Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersamanya bukan bertujuan berkempen.

Jelasnya, kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam acara di Ampang hari ini adalah atas kapasiti beliau selaku Ahli Parlimen Pandan.

“Datuk Seri Wan Azizah adalah Ahli Parlimen Pandan, kalau tidak ada apa-apa pertandingan pun Ahli Parlimen Pandan akan tetap hadir di sini dan tidak ada simbol endorstment dan sebagainya.

“Kita kerja sebagai satu pasukan dan kita tahu pisahkan diantara pentadbiran dan kerja-kerja politik,” katanya katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan bantuan mangsa banjir di Taman Bukit Permai hari ini.

Dalam pada itu, Amiruddin  mengalu-alukan calon lain dan ia sememangnya bukan perkara baru ketika pemilihan parti.

Justeru itu, beliau berharap agar ahli-ahli parti dapat membuat keputut tepat dalam memilih tampuk kepimpinan untuk sesi 2022 hingga 2025 kelak.

“Sebelum ini pun berbelas calon ketika pertandingan pada 2013 dan 2018. Masing-masing mempunyai kelebihan masing-masing dan mempunyai mekanisme dan ada yang bergerak dalam satu kumpulan dan sebagainya satu kelompok dan ada yang menawarkan kelompok yang kecil.

“Saya rasa setelah melalui proses pemilihan langsung semenjak 2010, 2014, 2018 ahli PKR sudah semakin matang untuk membuat pilihan pemimpin mereka yang akan bawa suara mereka dan tentukan nasib mereka,” katanya lagi.

Amiruddin antara 18 individu yang mengemukakan nama masing-masing sebagai calon bagi merebut kerusi Naib Presiden PKR pada pemilihan bulan depan.

Antara lain adalah Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Parlimen Kuantan dan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh serta Ahli Parlimen Setiawangsa dan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain itu, bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan dan ADUN Sentosa, Dr G Gunaraj.

Lima lagi calon ialah Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail; bekas Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban; ADUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching serta ADUN Bukit Selambau, Dr R. Summugam selain Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin yang menjadi calon saat akhir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast