Gambar mi berulat yang tular baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Peniaga mi yang tular kerana ulat pada makanan dijualnya baru-baru ini diarah menutup gerai serta-merta.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, notis arahan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan (KKM) itu dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati menjual makanan yang tidak bersih.

“Pemilik gerai perlu mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, seorang pekerja peniaga Mi Tonggek berkenaan turut dikenakan kompaun kerana didapati tidak mengambil suntikan anti tifiod.

“Tiga sampel turut diambil di gerai terlibat bagi tujuan analisis
mikroorganisma dan bendasing,” katanya lagi.

Dr. Noor Hisham berkata, siasatan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati peniaga berkenaan mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar itu.

“KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis itu,” jelasnya.

Baru-baru ini, tular di media sosial video Mi Tonggek bersama sotong yang dibeli di Bazar Ramadan Putrajaya yang mempunyai ulat.

Sementara itu, mengulas mengenai gumpalan rambut dalam kuih limas, Dr. Noor Hisham berkata, KKM membuka kertas siasatan ke atas pengeluar pengeluar kuih tersebut untuk pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast