Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika berucap Majlis Perasmian Mg Coopmart-Kopbera dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadhan Keluarga Malaysia Parlimen Bera

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan kepada semua syarikat  penerbanganan supaya tidak mengambil keuntungan berlebihan bagi laluan ke ke Sabah dan Sarawak terutamanya pada musim perayaan ini.

Beliau menyifatkan kenaikan tambang penerbangan sebanyak 500 peratus ‘agak melampau’ memandangkan rakyat tidak mempunyai alternatif untuk ke negeri-negeri berkenaan selain menggunakan kapal terbang.

Justeru berliau mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyemak dan menyiasat harga tiket penerbangan yang dilaporkan melambung kerana ia bercanggah dengan Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Beliau mahu Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, bertegas kepada semua  pihak sama ada operator syarikat besar atau kecil yang mengambil keuntungan berlebihan.

‘”KPDNHEP perlu tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil untung berlebihan di bawah AKHAP kerana ia salah.

“Kerajaan tidak akan membenarkan mana-mana peniaga mengambil kesempatan terhadap pengguna pada bulan puasa dan hari raya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mg Coopmart-Kopbera dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia Parlimen Bera, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau juga telah meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk menyemak semua kadar harga tambang ke Sabah dan Sarawak yang mencecah RM2,000 itu jika boleh diturunkan.

“Menteri Pengangkutan telahpun mengadakan perjumpaan dengan pengendali syarikat penerbangan untuk mengkaji semula kenaikan harga yang melampau ini.

“Kalau tambang pesawat ke Kedah atau Pulau Pinang naik harga, pengguna yang nak balik kampung boleh pilih naik kereta sebagai alternatif. Tapi kalau tiket penerbangan ke Sabah Sarawak naik, jadi nak naik apa? Tak kan nak naik kereta balik Sabah?,” kata beliau. – MalaysiaGazette