Wakil (NGO), Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali (tengah) menunjukkan salinan pada media selepas menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai Timbalan Menteri Agama melakukan tindakan-tindakan yang membelakangkan bidang Kuasa Raja-Raja di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Lebih 100 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak supaya Timbalan Menteri Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary digantikan.

Ini kerana, Ahmad Marzuk didakwa telah mengeluarkan kenyataan yang salah dan mengelirukan di dalam Dewan Negara pada 28 Mac lepas berhubung keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah (MKI) ke-117 yang telah dipersetujui oleh mufti-mufti.

Jurucakap Pondok-Pondok Semalaysia, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali mendakwa, Ahmad Marzuk telah menunjukkan pendiriannya yang sempit terhadap agama dan peribadi sehingga beliau tergamak memberikan kenyataan seperti itu di Dewan Negara.

“Lebih parah, beliau mengeluarkan kenyataan keras “Laknat Allah” di dalam laman sosial Facebook beliau pada 9 April 2022 yang difahami ramai sebagai pendirian menolak penjelasan pada 8 April 2022 oleh Pengerusi Jawatankuasa MKI yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja.

“Lebih serius kenyataan beliau dilihat sebagai derhaka terhadap titah kepada Sultan Selangor pada 9 April 2022 selaku Pengerusi MKI yang baru dipilih oleh Raja-Raja Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap kenyataan Ahmad Marzuk di Istana Negara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Engku Ahmad menegaskan, memorandum yang dihantar itu merupakan sembah hasrat daripada rakyat kepada institusi Diraja sebagai menzahirkan sokongan pada kepada Raja-Raja yang beramanah menjaga kedaulatan agama Islam dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, ia termasuk mempertahankan integriti institusi-institusi agama seperti MKI dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) daripada campur tangan tidak wajar oleh individu -individu politik yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, timbalan menteri itu telah melakukan tindakan yang membelakangkan bidang kuasa Raja-Raja sebagai ketua agama Islam seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, Ahmad Marzuk juga telah menunjukkan sikap biadab dan tidak matang serta memudaratkan pentadbiran dan kedaulatan undang-undang semata-mata kerana mendahulukan pendiriannya yang sempit.

Dalam pada itu, Engku Ahmad memberitahu, terdapat beberapa laporan polis dibuat terhadap Ahmad Matzuk berhubung perkara tersebut.

Katanya, selain Istana Negara memorandum itu juga akan dihantar kepada Sultan Selangor di Istana Indera Kayangan, petang ini.

Ditanya sama ada, Ahmad Marzuk perlu membuat permohonan maaf, Engku Ahmad berkata, Ahli Parlimen Pengakalan Chepa itu boleh berbuat demikian namun, ia tidak bererti kesilapan yang dibuat akan dilupakan.

Katanya, perkara tersebut boleh menyebabkan mudarat dan sekiranya beliau digantikan dengan orang lain biarlah individu itu seorang yang faham dengan perlembagaan dan undang-undang. – MalaysiaGazette