Muhammad Akmal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 116.3 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Sungai Dua, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Seorang pekerja kilang maut selepas terlibat dalam satu kemalangan membabit dua kenderaan lain di Kilometer 116.3 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, hari ini.

Kejadian jam 7.30 pagi itu menyebabkan Muhammad Akmal Muhammad Radzi, 22, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada jam 7.35 pagi.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dari arah Sungai Petani, Kedah menghala ke Sungai Dua sebelum melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berada di lorong kecemasan.

“Akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh ke lorong kanan sebelum dilanggar sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah belakang.

“Pemandu pacuan empat roda itu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa. Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di Prai.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette