Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) menyasarkan kutipan sebanyak RM1.7 juta untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi Perak FC.

Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim berkata, jumlah itu mampu dicapai sekiranya setiap rakyat di negeri ini menderma RM1 seorang dalam tempoh empat hari sehingga Khamis ini.

“Sebelum ini kita harapkan pemilik Perak FC dapat selesaikan kemelut ini namun apa yang kita nampak, saban hari keadaan semakin genting dan pasukan kita sudah di hujung tanduk.

“Jika pasukan gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum atau pada 21 April ini maka First Instance Body (FIB) akan memutuskan tindakan seterusnya, lesen ditarik balik dan disingkirkan daripada Liga Malaysia adalah hukuman yang menanti,” katanya lagi dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan itu amat terdesak apabila Perak FC berdepan risiko untuk disingkirkan dari saingan Liga Malaysia.

“Hanya beberapa hari sahaja lagi peta bola sepak negara bakal kehilangan satu lagi pasukan penuh tradisi, penuh sejarah dalam saingan Liga Malaysia.

“Kita boleh lihat sendiri sehingga hari ini, masih belum ada sebarang kepastian kemelut pengambilalihan kelab, kami terpanggil untuk selamatkan kelab kesayangan kami.

“Apa yang lebih penting memastikan survival Perak FC dalam saingan Liga-M dan rakyat Perak boleh buktikan dengan menyalurkan sumbangan. kita juga mengharapkan mana-mana pihak atau syarikat yang mempunyai kewangan kukuh untuk menyumbang,” katanya.

Tambahnya, adalah sesuatu yang amat malang bagi pasukan Perak FC yang menyambut ulang tahun ke-100 tahun lalu diturunkan takhta liga.

“Jika tersingkir dari saingan Liga Malaysia, ia adalah sesuatu yang amat malang bagi kita termasuk akan beri kesan kepada perkembangan bola sepak di negeri Perak sendiri.

“Kami rayu agar seluruh rakyat Perak menjayakan usaha ini sebelum terlambat, dan kita minta kepada kerajaan negeri untuk bantulah pasukan buat kali terakhir,” katanya lagi.

Kempen Solidariti RM1 Seminggu telah dilancarkan ketika krisis kewangan Perak FC apabila dikhabarkan pemain dan pegawai pasukan tidak dibayar gaji mereka dua bulan ke tujuh bulan.

Sumbangan boleh dihulurkan ke akaun CIMB 8602530260 (Persatuan Penyokong Bolasepak Perak) dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hakimi di talian 0103938167.  – MalaysiaGazette