basikal lajak
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menunjukkan tiada rekod mengenai kes basikal lajak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi polis akan terus melakukan pemantauan.

Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim juga menyeru ibu bapa supaya memastikan anak mereka menjauhi kegiatan tersebut yang membahayakan.

Beliau berkata, banyak klip video mengenai basikal lajak yang tular dalam media sosial sebenarnya merupakan rakaman lama.

“Menurut statistik polis, sebanyak 84 penangkapan dilakukan pada 2019 dengan kes terbanyak iaitu 32 kes dicatatkan di Sabah, diikuti 22 di Selangor, 16 di Pulau Pinang, sembilan di Perak dan lima di Johor.

“Semua kes membabitkan kanak-kanak keturunan Melayu di bawah 12 tahun,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, pada tahun 2020 pula, terdapat 72 tangkapan di Selangor dan Kuala Lumpur dan semuanya melibatkan orang Melayu berumur antara 12 hingga 16 tahun.

Menurut beliau, selepas polis mencadangkan penggunaan Akta Kanak-Kanak untuk menyiasat kes berkenaan dan melaksanakannya di Selangor, tidak terdapat kes basikal lajak yang dikesan sejak 2021.

“Polis juga percaya pelaksanaan PKP selepas 2020 telah menyebabkan kanak-kanak tidak keluar rumah, sekali gus mendorong kepada penurunan kes.

“Polis bagaimanapun akan terus melakukan pemantauan dan orang ramai juga diseru untuk memantau anak mereka supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang bahaya,” katanya. – MalaysiaGazette