Kenderaan yang dipandu suspek telah merempuh kereta polis beberapa kali sehingga berjaya meloloskan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam kejadian di Air Putih malam tadi

KUANTAN – Polis terpaksa melepaskan lima das tembakan ke udara selepas kereta polis yang dinaiki dua anggota dirempuh oleh penjenayah yang bertindak melarikan diri dalam Op Sarang dalam kejadian tengah malam tadi di Air Putih, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua das tembakan ke udara dan tiga das ke bahagian tayar kenderaan suspek dilakukan susulan tindakan suspek melarikan diri ketika ditahan.

Terdahulu, katanya, polis cuba menahan sebuah kereta jenis Proton Perdana tersebut selepas didapati dalam keadaan mencurigakan namun suspek enggan memberi kerjasama.

“Pemandu kereta tersebut telah bertindak memecut kenderaan dan telah memasuki jalan mati di Lorong Air Putih 130 Kuantan lalu bertindak mengundurkan kereta dengan merempuh kenderaan polis beberapa kali.

”Polis bertindak menyelamatkan diri dengan melepaskan dua das tembakan ke udara sebagai amaran dan mengarahkan supaya sauspek memberhentikan kenderaannya tetapi tidak diendahkan.

“Anggota polis terpaksa melepaskan tiga das lagi tembakan pada bahagian tayar kiri hadapan Proton Perdana tersebut menyebabkan mereka melarikan diri,” katanya di sini.

Polis kini sedang mengesan dua suspek bagi membantu siastan berdasarkan dokumen yang ditemui dalam kenderaan dan menerusi semakan pemilikan kenderaan tersebut.

”Dua pemuda berkenaan dikenali sebagai Shaizul Aziram dan Abdullah Fahmi bin Salleh @ Muhammad diminta tampil untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kedua-dua individu itu  dikehendaki tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan atau menghubungi hotline PDRM  IPD Kuantan di talian 09-5652222 bagi membantu siasatan.

Kejadian itu menyebabkan kenderaan polis mengalami kerosakan di bahagian hadapan hingga ke belakang manakala kedua-dua anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette