Pengarah CHIMES, Woo Say Ming menunjukkan gambar dalaman unit komersial berikutan dakwaan menara komersial tidak mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 dan Akta Perkhidmatan Bomba, 1988 ketika sidang media di Harmony Hall, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2022.

PETALING JAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta campur tangan berhubung isu keselamatan bangunan di sebuah menara komersial yang menimbulkan pelbagai persoalan tentang kelulusan yang diberikan.

Seorang pembeli, Woo Sau Ming mendakwa, isu tersebut membabitkan pemasangan lantai tambahan mezanin di bawah peruntukan Seksyen 44 (3) Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 dan Akta Perkhidmatan Bomba, 1988.

Menurut beliau, dua unit pejabat didudukinya sejak empat tahun lalu yang mana hampir 30 peratus penghuni menggunakan unit tersebut sebagai kediaman dan bukannya kegunaan komersial.

“Saya ingin penjelasan kerana jika pemasangan tidak mengikut kelulusan bagaimana pensijilan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat telah berjaya diperbaharui sejak tiga tahun lalu.

“Saya telah berbanyak kali menulis surat kepada pemaju dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) meminta pengesahan kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk pemasangan lantai mezanin,” katanya pada sidang media sini hari ini.

Pengarah CHIMES, Woo Say Ming bercakap mengenai dakwaan sebuah menara komersial tidak mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 dan Akta Perkhidmatan Bomba, 1988 ketika sidang media di Harmony Hall, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 APRIL 2022.

Woo yang juga Pengarah CHIMES AG Sdn. Bhd. (CHIMES) menambah, sepanjang tempoh tiga tahun ini, beliau juga telah mengemukakan aduan dan permintaan kepada Pesuruhjaya Bangunan MBPJ untuk pengesahan masalah itu.

Namun kata beliau, tiada maklum balas diberikan dan CHIMES telah membuat aduan kepada Jabatan Kawalan Bangunan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada akhir tahun 2020.

“Saya mempersoalkan bagaimana aras tambahan lantai mezanin mematuhi Peruntukan Sek 44 (3) UBBL 1984 yang memerlukan ketinggian minimum lantai ke siling pada setiap tingkat selepas pemasangan adalah pada sekurang-kurangnya 8.36 kaki dalam pembangunan komersial dan padahal ketinggian siling setiap unit standard iaitu 15 kaki.

“Pada masa sama, lantai mezanin juga diperbuat daripada papan lapis dan lantai vinil tanpa pengesan asap dan perenjis tambahan dan ini memberi risiko bahaya kebakaran seperti dalam Akta Perkhidmatan Bomba, 1988. Jika lantai mezanin yang dipasang pada 2017 tidak mematuhi, bagaimana pembaharuan Pensijilan Bomba diperolehi?

“Selain itu, jika struktur mezanin tidak mematuhi syarat, adakah ia akan membatalkan keseluruhan Perlindungan Insurans Bangunan kerana semua polisi insurans tertakluk kepada pematuhan berkanun,” katanya.

Apa yang menyedihkan kata Woo, pihak iaitu pemaju dan JMB bukan sahaja tidak menunjukkan kelulusan daripada MBPJ untuk  kesemua unit dengan lantai mezanin tersebut.

Sebaliknya dakwa beliau, pemaju telah menfailkan saman fitnah ke atas CHIMES dan dirinya sebanyak RM10 juta.

“Sebagai pemilik atau bakal pemilik, Akta Pembangunan Perumahan memberi kuasa dan akses kepada pemilik untuk mendapat dokumen serta informasi berkaitan dengan sesuatu bangunan tersebut.

“Memandangkan sistem dan protokol PBT tidak berjaya membantu pemilik atau bakal pemilik mendapat maklumat dan dokumen, saya telah melancarkan satu petisyen kepada KPKT.

“Ia bagi memohon untuk menyemak dan meminda undang-undang berkaitan Akta Pengurusan Strata 2013 dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015 supaya pemaju dan JMB mesti memberi maklumat tentang isu-isu bangunan tanpa halangan,” katanya. – MalaysiaGazette