Hishamuddin bergambar dan beramah mesra dengan anggota TLDM KD Mahawangsa pada Majlis Iftar di perairan Pulau Pangkor, Perak hari ini. - Foto: Mohd Syarif Yusof.

LUMUT – Kabinet hari ini memuktamadkan untuk meneruskan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan faktor utama iaitu kapal tersebut sememangnya aset yang amat diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Katanya, ia bukan sahaja untuk memenuhi perancangan pemodenan TLDM di bawah Transformasi 15 to 5, malah lebih penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan armada serta menambahbaik usaha memelihara kepentingan maritim negara.

“Saya percaya keputusan hari ini dapat meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Iftar bersama pegawai dan anggota TLDM di atas kapal KD Mahawangsa di perairan Pulau Pangkor di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dan bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, perkara lain yang turut mendorong projek itu diteruskan adalah disebabkan terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek berkenaan dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, lebih 100 daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia di mana 90 peratus ada hubung kait dengan veteran.

Kesemua mereka majoriti berada di Lumut terutama pekerja berkemahiran, pakar serta ahli keluarga mereka, katanya.

“Jadi, keputusan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha membela kebajikan veteran ATM, isteri, anak serta ahli keluarga mereka.

“Saya ambil maklum, vendor-vendor ini mengikuti rapat perkembangan usaha menyelesaikan isu LCS ini dan mereka pastinya gembira dengan keputusan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Hishammuddin menegaskan, keputusan meneruskan projek LCS tidak bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini akan terlepas.

Tegasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menahan reman dua Ketua Pegawai Eksekutif terbabit sebelum ini dan badan penguat kuasa undang-undang itu digesa untuk percepatkan siasatan.

“Siapa jua yang bersalah pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan. Perincian lebih lanjut tentang bagaimana projek ini akan diteruskan akan dimaklumkan dari masa ke masa,” tambahnya. – MalaysiaGazette