MELAKA – Kunjungan Duta Besar Romania ke Malaysia, Nineta Barbulescu ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memantapkan usaha ke arah jalinan kolaborasi strategik antara universiti ini dan institusi pendidikan Romania.
Ketibaan beliau disambut mesra oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin dan barisan pengurusan tertinggi UTeM di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, baru-baru ini.
Massila berkata, kunjungan Duta Besar Romania ke UTeM merupakan penghormatan besar buat UTeM yang merupakan universiti awam teknikal yang terus menerajui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi negara yang bertaraf dunia.
Jelasnya, antara pengisian lawatan rasmi tersebut adalah berkisar tumpuan usaha jalinan hubungan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dengan merangka beberapa beberapa strategi dan pengisian berhubung aspek pengajian tinggi antara
kedua-dua negara serta memberikan impak bersama.
Katanya, usaha ini adalah seiringan dengan pengukuhan dimensi kemajuan akademik, penyelidikan dan inovasi bersama melibatkan kedua-dua buah negara dari rantau yang berbeza.
”Kedua-dua pihak turut berhasrat merealisasikan beberapa program penyelidikan inovasi aras tinggi merentas sempadan global melalui peluang penyelidikan tenaga solar di Romania dan Biasiswa Kerajaan Romania,” katanya.
Mengulas lanjut Massila berkata, usaha UTeM ini turut selari dengan aspirasi Kementerian Pengjian Tinggi (KPT) yang mengharapkan universiti awam terus memantapkan jaringan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Nineta Barbulescu amat menghargai kerjasama hubungan strategik yang akan terjalin antara UTeM dan Romania dan beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap kemajuan dan kemodenan fasiliti serta persekitaran kondusif UTeM. – MalaysiaGazette