SINGAPURA – “Nagaenthran. Selamatkan dia. Baru hati senang. Minta maaf dia sudah salah. Semua orang tolong.”
Itulah kata-kata daripada seorang ibu Panchalai Supermaniam yang merayu agar anaknya warga Malaysia Nagaenthran K. Dharmalingam diselamatkan daripada hukuman gantung di Singapura pada minggu depan.
“Baru sahaja menerima berita yang menyayat hati bahawa Nagaentran akan dihukum gantung pada Rabu depan,” katanya dalam satu lagi catatan sebelum ini.
Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac telah menolak permohonan terakhir Nagaenthran terhadap pelaksanaan hukuman.
Nagaenthran berasal dari Perak, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine.
Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya daripada segi intelek.
Nagaenthran, dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir mengemukakan rayuan terakhirnya.
— BERNAMA