Mohd Shuhaily.

GEORGE TOWN – Identiti enam tahanan etnik Rohingya yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 165 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Jawi, di sini, semalam sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka terdiri tiga lelaki dan tiga perempuan termasuk dua kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun.

“Kita telah maklumkan kejadian tersebut kepada kedutaan negara terbabit untuk tindakan lanjut termasuk urusan pengurusan mayat.

“Selain insiden kemalangan maut itu, dua lagi tahanan yang cedera ringan telah diberikan rawatan di Hospital Sungai Bakap semalam,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Op Tutup bagi mengesan baki tahanan yang lolos, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya berjaya memberkas semula 28 tahanan lelaki di kawasan kebun sawit serta lebuh raya semalam.

“Hari ini kita telah menahan dua lagi individu  berhampiran Sungai Kerian di kawasan Transkrian, Nibong Tebal.

“Setakat hari ini, baki tahanan yang masih lari dipercayai adalah 111 lagi tahanan.

“Bagaimanapun, statistik sebenar adalah daripada pihak imigresen, dan kita hanya membantu operasi mencari dan menahan semula mereka yang melarikan diri,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga sudah memohon bantuan unit udara dari Bukit Aman untuk melakukan pencarian menggunakan helikopter bagi mengesan baki tahanan yang melarikan diri.

“Kita percaya kebanyakan tahanan yang melarikan diri masih berada di kawasan sekitar Seberang Perai Selatan kerana keadaan diri mereka yang berkaki ayam, tidak makan, dan tidak mempunyai hala tuju,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette