Pelatih Madrasah Darul Solihin Al Qadiri membaca ayat suci Al-Quran sempena Hari Nuzul Quran untuk mendapat keberkatan pada bulan Ramadan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 APRIL 2022.

HARI-hari yang berlalu di bulan Ramadhan seolah-olah tidak terasa, sehinggakan kita sudahpun menjengah ke pertengahan bulan yang berkat ini. Ramadhan diraikan dengan penuh meriah dan kesyukuran kerana janji Allah SWT tentang segala ganjaran yang bakal diraih bagi hamba yang mengisinya dengan penuh keimanan dan harapan pengampunan dariNya.

Kemeriahan pesta ibadah Ramadan disulami rasa kesyukuran fasa pemulihan Covid-19 di Malaysia dan suasana kembali menjadi normal seperti sediakala. Tahun lepas menjadi suatu cabaran bagi membiasakan norma pelaksanaan solat tarawih bersama ahli keluarga di rumah, namun tahun ini kerinduan kemeriahan solat tarawih berjemaah di masjid terubat dengan pembukaan masjid untuk para jemaah mengimarahkannya.

Selain solat tarawih, bertadarus atau membaca al-Quran merupakan ibadah yang sinonim bagi umat Islam di sepanjang Ramadan. Bulan yang mulia ini merupakan kesempatan terbaik untuk mengkhatamkan bacaan 30 juzuk, di samping mentadabbur setiap inci isi kandungan dan pengajaran daripada surah-surah di dalam al-Quran.

Al-Quran al-Karim merupakan kitab suci yang mengandungi segala ilmu dan petunjuk yang dapat menjadi pembimbing kepada setiap insan ke jalan yang benar. Maka, tidak hairanlah sekiranya dalam setiap diri umat Islam meletakkan al-Quran sebagai dasar dan matlamat utama bagi tujuan hidupnya. Melalui al-Quran, kita dapat meraih pelbagai faedah serta hikmah daripada kemukjizatan ayat-ayat di dalamnya. Ini termasuklah teras ilmu dan nilai ketakwaan, keadilan, menjaga hubungan sesama insan, bahkan tanggungjawab kita terhadap alam sekitar termasuk haiwan dan tumbuh tumbuhan. Begitulah sifat al-Quran iaitu kalamullah yang mulia menjadi panduan dan petunjuk sepanjang zaman.

Nilai dan panduan yang digagaskan dalam Al-Quran sangat sesuai diterapkan pada setiap zaman dan keadaan. Kitab Al-Quran yang tiada syak di dalamnya dan menjadi panduan bagi mereka yang beriman. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 2: “Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya, ia menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa”

Sebagai hamba yang diciptakan oleh Allah SWT di atas muka bumi ini, kita hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran. Pada setiap saat dan ketika, al-Quran perlu dijadikan sebagai teman sepanjang kehidupan sama ada siang ataupun malam, susah mahupun senang, ketika lapang ataupun dihambat kesibukan urusan dunia. Hendaklah kita sentiasa merujuk dan memandu diri ke arah jalan kebenaran melalui panduan Al-Quran.

Menjadikan al-Quran sebagai teman bererti sentiasa hampir, mendekati, mendampingi dan tidak mudah lupa dengannya. Teman atau sahabat yang kita rapati ini akan terus hampir dengan kita bukan sahaja di dunia fana ini malah dia akan menjadi teman setia kita ketika berada di alam barzakh dan di akhirat nanti.

Sekiranya kita tidak menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dalam hidup ini, dikhuatiri akan diambil kesempatan oleh syaitan untuk mempengaruhi setiap perbuatan dan tindakan yang kita dilakukan. Jiwa kita yang kosong akan pastinya diselubungi dengan hasutan yang akan merosakkan diri. Oleh itu, dekatkanlah diri dengan Al-Quran dan jauhilah diri kita daripada gangguan serta hasutan syaitan kerana ia adalah musuh utama manusia. Ini selaras dengan peringatan Allah SWT melalui firmannya dalam surah al-Zukhruf ayat 36 yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya Syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya”.

Al-Quran sebagai teman sejati mencerminkan suatu manifestasi ubudiyyah yang sangat mendalam bagi diri seorang mukmin. Teman sejati adalah penting dalam memberi panduan dan dorongan untuk sentiasa berada di jalan Allah SWT. Teman atau sahabat yang baik akan memberi nasihat dan galakan untuk terus berada di jalan taqwa. Sekiranya tiada teman sejati yang memandu ke arah kebenaran ini, mana mungkin kita dapat menzahirkan kecintaan dan kasih sayang yang terbaik kerana Allah SWT.

Oleh itu, untuk memastikan al-Quran hadir dalam diri kita dan hidup kita sentiasa dipandu olehNya, terdapat beberapa kaedah untuk menjadikan Al-Quran sebagai teman sejati. Pertama, sebagai umat Islam, kita perlu mengambil peluang untuk sentiasa mempelajari Al-Quran, belajar membacanya, memahami makna ayat-ayat yang dibaca dan berusaha menghayatinya dalam segenap kehidupan. Al-Quran adalah kitab hidayah dan petunjuk, pengubat kepada segala penyakit jiwa dan hati manusia agar sentiasa disirami dengan cahaya Allah SWT. Sesungguhnya dengan menjadikan Al-Quran sebagai teman yang sentiasa didekati, kita dijanjikan Allah dengan tempat yang terbaik di syurga.

Orang yang membaca al-Quran diumpamakan sebagai buah yang berbau harum dan wangi disisi Allah SWT. Abu Musa RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang mukmin yang selalu membaca al-Quran seperti buah utrujjah, bau dan rasanya enak. Orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah kurma, tidak berbau tetapi rasanya manis. Orang munafik yang selalu membaca al-Quran seperti raihanah, baunya harum tetapi pahit rasanya. Orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah hanzalah, tiada bau dan pahit rasanya”. (Riwayat al-Bukhari).

Kedua, umat islam wajib meyakini akan mukjizat al-Quran sebagai kitab agung yang dikurniakan oleh Allah SWT yang menjanjikan kemuliaan terutama bagi mereka yang sentiasa mendekatkan diri dengan Al-Quran. Untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan al-Quran, seseorang itu perlu sentiasa merujuk dan mempelajari hukum hakamnya yang bukan sahaja untuk dirinya dan ilmu di dunia sahaja malah sebagai bekal di akhirat nanti. Bahkan apa yang lebih utama adalah dapat menghindarkan diri kita daripada kesesatan yang nyata. Allah SWT berfirman dalam surah Taha ayat 123 : “Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari Ku, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara”.

Ketiga, bagi membuktikan persahabatan kita dengan al-Quran, maka kita perlu berusaha sedaya upaya untuk menghafaz ayat-ayatnya agar hafazan tersebut boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber kekuatan bagi mendepani segala cabaran dalam kehidupan. Yakin dan percayalah bahawa bait-bait ayat yang dihafal itu bukanlah kata-kata syair atau pujangga yang sia-sia tetapi ia adalah kalamullah yang tinggi nilainya dan mampu membimbing kita ke arah kebenaran dan ketakwaan kepadaNya. Segala ayat-ayat yang kita tekuni untuk membaca dan menghafaznya adalah kalam yang sangat mulia yang dijanjikan syurga dengan membacanya, bahkan dijanjikan syafaat yang pasti akan membantu kita di akhirat nanti. Daripada Abu Umamah al-Bahili RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang pada hari Kiamat sebagai pemberi syafaat bagi pembacanya”. (Riwayat al-Bukhari).

Allah SWT menjanjikan bahawa al-Quran akan memberi ketenangan kepada jiwa-jiwa yang kosong dan bermasalah. Suasana tertekan dan kepayahan akibat ujian wabak yang melanda pastinya memberikan kesan kepada sebahagian daripada kita. Maka solusi terbaik kepada sesiapa yang menghadapi kecelaruan dalam jiwanya dan merasa tidak tenang, dekatilah al-Quran tidak kira pagi, petang, siang mahupun malam. Tekunilah membacanya dan berusahalah untuk memahaminya, mudah-mudahan menjadi penawar untuk menenangkan hati-hati yang dibelenggu keresahan dan masalah. Begitu juga dengan mendengar dan menghayati bacaan ayat-ayat al-Quran itu, nescaya akan dapat menghiburkan perasaan yang sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta memperoleh petunjuk daripada Allah SWT. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 28, “Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang”.

Setiap manusia pastinya mengalami pelbagai perasaan seperti gembira, teruja, sedih, resah, dan sebagainya. Sepayah mana pun kehidupan yang dihadapi, dan seberat apapun masalah yang ditanggung, pastinya terasa lebih ringan dan damai jika ada teman yang setia bersama. Panduan daripadanya akan membimbing kita mencari jalan keluar yang terbaik selari dengan tuntutan syarak. Demikianlah juga hidup ini akan jadi lemah jika sebatang kara bersendirian tanpa saudara dan sahabat, maka teman yang setia hendaklah dicari untuk kebaikan hidup itu. Maka sudah tentu al-Quran itu layak menjadi teman kita di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, umat Islam hendaklah meyakini bahawa al-Quran al-Karim adalah kitab suci yang diturunkan bagi membimbing manusia ke jalan kebenaran dan ketakwaan kepadaNya. Wajib bagi setiap umat Islam menjadikan al-Quran sebagai teman sejati dengan membacanya, memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran yang terdapat di dalamnya. Seterusnya, kita hendaklah sentiasa merujuk al-Quran dalam apa jua perkara dan persoalan kerana ia adalah sumber petunjuk dan jalan keluar kepada segala permasalahan manusia di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 89 : “Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri dan Kami datangkan mu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu) dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam”. Pasakkanlah di dalam hati-hati kita setiap umat Islam untuk beriman dengan yakinnya kepada panduan dan ajaran daripada Al-Quran. Jadikanlah Al-Quran sebagai teman sejati dalam diri, panduan utama bagi setiap tindakan, serta penjamin syafaat untuk kita di hari akhirat nanti.

Oleh:Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob
Pengarah
Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast