Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan agar semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menganjurkan bacaan doa Qunut Nazilah semasa solat fardu Subuh, solat fardu Jumaat dan solat sunat Witir sepanjang bulan Ramadan bermula pada malam ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, saranan itu dibuat selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mencadangkan bacaan Doa Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keamanan di bumi Palestin khususnya dan negara Malaysia amnya.

Ia susulan tragedi pencerobohan yang berterusan ke atas Masjid Al- Aqsa.

”Sesungguhnya doa dan munajat yang dipanjatkan ke hadrat Allah SWT di dalam bulan Ramadan yang mulia adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk perjuangan rakyat Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette