Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 21 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris mendakwa Datuk Seri Najib Razak mengarahkan beliau menandatangani penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun terdapat banyak maklumat tidak mencukupi.

Johan berkata, beliau telah memberitahu bekas perdana menteri itu bahawa firma audit itu memerlukan bukti bagi melengkapkan proses audit mengikut peruntukan seperti mana tertera dalam Standard Perakaunan Antarabangsa (ISA) dan Standard Laporan Kewangan (FRS).

Beliau yang memberi keterangan mengenai pelaburan 1MDB Brazen Sky memberitahu,  Najib mempersoalkan mengapa KPMG masih mempunyai syak wasangka tentang pelaburan Brazen Sky walaupun pihaknya telah dimaklumkan butiran terperinci berkaitan perkara itu yang mana ia adalah sulit dan tidak didedahkan.

Kata Johan, beliau tidak faham mengapa maklumat itu dikatakan sulit kerana ia merupakan butiran asas untuk KPMG melakukan audit.

Najib berdepan dengan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Tambah beliau, ini kerana  tidak ada sebarang dokumen sokongan yang mengatakan maklumat-maklumat terbabit adalah sulit.

“Mengikut peraturan FRS termaktub di dalam Akta Syarikat, 1965, jika kami tidak dapat lengkapkan audit 1MDB kami kena keluarkan laporan teguran, disclaimer of opinion, terhadap akaun 1MDB.

“Tetapi Najib pula risau mengapa kami lambat sediakan akuan itu, beliau ada juga bertanya mengapa KPMG tidak boleh terima pengesahan oleh BSI Bank tentang dana 1MDB bernilai AS$2.3 bilion. Saya maklumkan kepadanya BSI Bank tidak beri maklumat lengkap.

“Tanpa maklumat itu, KPMG tidak boleh buat pengesahan penilaian berkenaan itu adalah betul,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini.

1MDB Brazen Sky  merupakan syarikat perantara tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dan rakan sekutunya.

Ketika menjawab soalan pada pemeriksaan utama bersama Timbalan Pendakwa Raya, T Deepa Nair, Johan yang merupakan saksi ke-14 berkata, Najib ada memberinya arahan supaya menandatangani akaun 1MDB sebelum atau pada 31 Disember 2013.

“Tetapi saya tidak beri apa-apa maklum balas kepadanya. Najib seperti memberi arahan kepada saya,” katanya sambil menambah ia merupakan pertemuan dengan bekas perna menteri itu di Taman Duta pada 15 Disember 2013.

Semalam, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir memberitahu, walaupun pengurusan 1MDB telah cuba menyalurkan sebanyak mana maklumat dikehendaki oleh KPMG namun firma itu tetap mahu bertemu dengan Najib.

Jelasnya, rakan kongsi KPMG, Ahmad Nasir Abdul Wahab telah meminta untuk berjumpa dengan Najib sebelum penyata kewangan ditandatangani, terutamanya tentang pelaburan 1MDB di luar negara.

Bagaimanapun Azmi memberitahu, beliau terkejut dengan permintaan KPMG dan bertanya mengapa mahu berjumpa Najib walaupun 1MDB telah menyalurkan semua maklumat dikehendaki dan memberitahu Jho Low. – Malaysiagazette