Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin. Foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk tahun ini dengan memperkenalkan pendekatan secara bersasar dengan perbelanjaan RM150 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, bantuan itu melibatkan  semua jemaah haji muassasah TH yang menunaikan haji buat pertama kali dan merangkumi dua kumpulan iaitu jemaah daripada kategori B40 dan selain B40.

Menurut beliau, berikutan pelaksanaan bantuan bersasar itu, bayaran haji untuk seorang jemaah muassasah B40 dikenakan sebanyak RM10,980 iaitu peningkatan hanya RM1,000 seorang.

Bagi jemaah muassasah dalam kategori bukan B40 ialah sebanyak RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun.

“Kenaikan bayaran haji ji tahun ini tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi, pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insuran untuk jangkitan Covid-19 yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada 5 peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci.

“Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji Muassasah” katanya pada sidang media khas hari ini.

Sebelum ini, bayaran haji jemaah Muassasah telah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009 iaitu 13 tahun lepas walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun sehingga 103 peratus.

Mengulas lanjut, Amrin menambah, untuk tahun 2022, TH telah menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah muassasah sebanyak RM25,540 seorang.

Justeru jelas beliau, bagi jemaah muassasah kategori B40, Bantuan Kewangan Haji oleh TH adalah sebanyak RM14,560 seorang atau 57 peratus.

Ujarnya, manakala jemaah muassasah kategori lain turut menerima bantuan sebanyak RM12,560 seorang atau 49 peratus berbanding RM12,920 seorang pada tahun 2019 atau 56 peratus.

“TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos bagi jemaah haji Malaysia terutama kategori B40.

“Golongan itu tentunya lebih terkesan dengan impak Covid-19 ke atas sara hidup mereka dan penetapan golongan kategori B40 ini adalah berdasarkan pengkalan data yang digunapakai oleh pihak Kerajaan.

“Bantuan Kewangan Haji itu juga adalah selari dengan usaha agensi itu untuk memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia kekal terjamin,” katanya.

Sejak 2001, jemaah haji Malaysia hanya membayar sebahagian daripada kos sebenar untuk menunaikan ibadat haji manakala selebihnya ditanggung oleh TH melalui Bantuan Kewangan Haji yang dijana daripada hasil pendapatan pelaburan.

Pada tahun 2019, bayaran haji adalah RM9,980 atau 44 peratus manakala Bantuan Kewangan Haji oleh TH ialah sebanyak RM12,920 atau 56 peratus untuk seorang jemaah bagi mencukupkan kos menunaikan haji sebenar RM22,900. – MalaysiaGazette